SHAH ALAM - Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes menyifatkan sudah sampai masanya dia menutup akaun Twitternya setelah melihat terlalu banyak kebencian dan kemarahan di platform media sosial itu ketika ini.
Menurutnya, selepas menutup akaun Facebooknya sebelum ini, kini tiba masanya dia mengambil langkah yang sama terhadap akaun Twitternya.
Iklan
Iklan
"Walaupun mempunyai ramai pengikut (peminat) tetapi terlalu banyak perkara-perkara negatif, kepalsuan dan kemarahan. Ia adalah perjalanan hebat. Saya rasa lebih baik sekarang tanpa Facebook dan saya pasti akan menjadi lebih baik tanpa Twitter. Media sosial telah menjadi tempat orang meluahkan kemarahan," katanya pada laman Twitternya tiga jam lalu.
Sebelum ini, Fernandes menutup akaun Facebooknya pada Mac lalu dengan memetik 'kebencian' yang ditayangkan di rangkaian media sosial itu selepas siaran langsung serangan pengganas di dua masjid di New Zealand.
Pada masa itu, beliau juga berkata berkemungkinan bakal menutup akaun Twitternya juga.
"Jumlah kebencian yang berlaku dalam media sosial kadang-kala mengatasi kebaikan tetapi di Twitter, saya fikir perjuangan masih diteruskan," katanya.
Fernandes mempunyai kira-kira 1.3 juta pengikut di Twitter dan menerima ciapan sebanyak 21,400 kali sejak menyertainya pada 2008.