ADTReC bantu jimat kos pengurusan sampah

Iklan
Perasmian ADTReC di Pusat Kitar Semula Cyberjaya.

SEPANG - Pengoperasian Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik (ADTReC) di Pusat Kitar Semula Cyberjaya di sini diharap dapat membantu menjimatkan kos pengurusan sampah di kawasan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) sebanyak 10 peratus setahun.

Yang Dipertua MPSepang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, penjanaan sisa pepejal di daerah Sepang menunjukkan peningkatan signifikan saban tahun susulan peningkatan populasi penduduk dan kepesatan pembangunan.

Abd Hamid (tiga dari kiri) menunjukkan gimik pembuangan bahan kitar semula ADTReC.

Iklan
Iklan

Menurutnya, janaan sisa pepejal pada 2021 adalah sebanyak 116,595 tan meningkat sebanyak 5.18 peratus kepada 122,633 tan pada tahun berikutnya.

"Pada tahun lalu, MPSepang telah membelanjakan hampir RM4.9 juta bagi pengurusan sisa pepejal tersebut susulan peningkatan kutipan sebanyak 5.88 peratus membabitkan 129,843 tan.

Iklan

"Sasaran kita, jika kutipan ADTReC satu hari boleh mencecah satu tan, maka kos pengurusan dapat dijimatkan sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan.

Lagi banyak sampat dapat dikurangkan semakin banyak kos dapat dikurangkan," katanya pada perasmian ADTReC pada Isnin.

Iklan

Turut hadir Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Mohd Tahir dan Tengku Orang Kaya Maha Bijaya Sepang, Tengku Datuk Dr Jamaluddin Tengku Mahmud Shah Alhaj.

ADTReC di Pusat Kitar Semula Cyberjaya.


ADTReC merupakan pusat kitar semula pandu lalu pertama di Selangor yang menawarkan ganjaran melalui sistem kod QR kepada pengguna.

Program tersebut dilancarkan KDEBWM hasil kerjasama bersama Bumi Waste Management Sdn Bhd atau lebih dikenali Trash4cash dan mendapat sokongan MPSepang.

Ia merupakan kontena diubah suai menjadi pusat kitar semula yang mampu memuatkan sehingga dua tan muatan dalam satu masa.

Abd Hamid berkata, beliau berharap program berkenaan dapat memberi pulangan kepada masyarakat disamping mengurangkan kos pengurusan sisa pepejal di pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

"Kalau tengok dari segi jumlah sampah yang dijana membabitkan sampah lengai seperti perabot dan tumbuh-tumbuhan adalah sebanyak 9,109 tan setahun manakala bagi sampah domestik pula, satu tahun mencecah 120,733 tan.

"Jika dapat kurangkan 10 peratus daripada sampah dijana itu, MPSepang dapat menjimatkan kos sehingga RM500, 000 yang sangat bermakna untuk dibangunkan taman permainan kanak-kanak atau pembaikan jalan atau projek penanaman pokok yang boleh memberikan manfaat kepada masyarakat," katanya.

Dalam pada itu, Ramli berkata, pengoperasian ADTReC merupakan langkah baik untuk menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti kitar semula.

"Pembangunan ADTReC beroperasi 24 jam yang turut dilengkapi CCTV (rakaman kamera litar tertutup), interkom serta dikuasakan melalui tenaga solar.

"Konsepnya secara layan diri dengan penggunaan platform digital Trash4cash membolehkan beroperasi tanpa pekerja," katanya.

Ujarnya, sebagai permulaan, pengguna hanya perlu menulis nama dan nombor telefon atau nombor keahlian Trash4cash di atas pita pelekat disediakan.

"Seterusnya masukkan bahan yang ingin di kitar semula ke dalam ADTReC mengikut kategori bahan kitar semula plastik, aluminium dan kertas.

"Pembayaran akan dibuat selepas 48 jam proses pengesahan dijalankan dan pembayaran akan dibuat secara atas talian.

"Kadar ganjaran bagi setiap barang kitar semula dikira secara purata mengikut pasaran yang harganya boleh disemak dilaman sesawang," katanya.

Beliau menyasarkan projek tersebut akan diperluaskan ke seluruh Selangor secara berperingkat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!