KUALA LUMPUR - Puluhan pekerja asing di premis dalam sebuah pusat beli-belah terkenal dekat sini dikejutkan dengan serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Isnin.
Serbuan bermula jam 2 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota JIM Kuala Lumpur hasil aduan awam serta risikan selama seminggu di tingkat dua dan tiga pusat beli-belah terbabit.
Sinar Harian yang menyertai operasi itu mendapati terdapat cubaan pekerja asing untuk melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa, selain beberapa premis yang beroperasi dikesan ditinggalkan kosong.
Semasa tangkapan pekerja asing dibuat, beberapa majikan cuba menghampiri pasukan operasi bagi mengetahui tindakan lanjut ke atas pekerja mereka.
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha berkata, Op Kutip di premis salun, butik pakaian serta kedai minyak wangi itu berjaya menahan 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) membabitkan 20 lelaki dan 26 wanita berusia lingkungan 20 hingga 45 tahun.
Menurutnya, PATI yang ditahan membabitkan empat warga Indonesia, Bangladesh (8), India (10), Myanmar (16) dan Pakistan (8).
"Antara kesalahan disyaki dilakukan PATI ialah tidak mempunyai pas atau permit sah, tinggal lebih masa dan gagal patuhi syarat pas," katanya kepada pemberita selepas operasi di sini pada Isnin.
Tambah Jafri, pihaknya turut menahan empat majikan warga tempatan untuk siasatan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan pekerja asing.
Katanya, JIM Kuala Lumpur juga akan memanggil beberapa majikan bagi pekerja asing yang ditahan untuk tindakan lanjut.
"Pusat beli-belah ini merupakan salah satu daripada 20 hotspot PATI di ibu negara selain penempatan," ujarnya.
Tegasnya, JIM tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pihak yang cuba melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta mana-mana peraturan atau perundangan lain.