JENJAROM - Gara-gara terlalu mengikut aplikasi navigasi untuk ke lokasi dituju, seorang bidan tersesat dalam sebuah ladang kelapa sawit, di sini semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Panglima Garang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Hafizie Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kejadian pada jam 8.36 pagi .
Menurutnya, sepasukan anggota ke lokasi untuk mencari mangsa yang sesat di Bandar Saujana Putra, di sini.
"Bomba terima laporan seorang wanita berusia lingkungan 30-an menaiki kereta jenis Nissan Almera tersesat dalam ladang kelapa sawit selepas guna aplikasi navigasi itu.
"Mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan dibawa keluar dari ladang tersebut," katanya.
Beliau berkata, wanita tersebut adalah seorang bidan dan kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan ke rumah pelanggannya di Saujana Putra.
"Bidan ni dari Ulu Yam, dia ke Saujana Putra untuk urut pelanggannya. Dia ikut aplikasi penunjuk arah sampai ke dalam ladang sawit selepas itu kereta dia pula sangkut dalam jalan berlumpur.
"Anggota bomba turut bantu keluarkan tayar kereta mangsa yang gagal bergerak terperangkap dalam lumpur tanah merah," katanya.