KUALA LUMPUR - Isu penyambungan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) hingga ke Rantau Panjang telah dibincangkan oleh kerajaan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) baru-baru ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, walaupun perbincangan itu menjurus kepada cadangan untuk mewujudkan satu rangkaian laluan yang lebih strategik khususnya dengan negara jiran, Thailand, setakat ini belum ada sebarang keputusan dibuat.
Iklan
Iklan
"Kita memang nak melihat sama ada ECRL ini dapat memberikan pulangan yang lebih maksimum kepada negara kita, jadi memang ada perbincangan untuk kita lihat opsyen lain termasuk menyambung ke sempadan Thailand.
"Yang penting bukan sahaja ECRL ini kena beri perkhidmatan dalam negara kita tetapi kalau boleh sampai ke sempadan Thailand (yang) boleh disambung dengan Malaysia... ini akan menjadikan ECRL itu lebih berimpak tinggi,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran WORQ Sunway Putra di sini pada Isnin.
Projek ECRL melibatkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor bermula dari Kota Bharu hingga ke Pelabuhan Klang sepanjang 665 kilometer dan 20 stesen.
Media sebelum ini melaporkan, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berharap projek ECRL dapat disambung hingga ke Rantau Panjang, bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi antara sempadan selain mampu mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28