KUALA SELANGOR - Polis menyangkal dakwaan telah berlaku kematian melibatkan 10 individu di daerah ini akibat menghisap vape atau rokok elektronik menggunakan cecair dikenali 'magic mushroom' yang tular di media sosial Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, semakan mendapati sebuah rakaman video memaparkan perbualan antara dua individu menerusi akaun TikTok yang mendakwa kematian seorang remaja lelaki akibat magic mushroom itu.
"Kematian tersebut turut didakwa merupakan antara 10 kes yang berlaku di daerah ini.
"Polis tegas menyangkal dakwaan ini dan berdasarkan semakan mendapati perkara ini tidak benar sama sekali," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Katanya, dakwaan itu merupakan perkara tidak berasas dan berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
"Pengguna media sosial diingatkan agar mengekang diri daripada menggunakan platform berkenaan untuk menyebarkan perkara yang tidak sahih.
"Masyarakat dinasihatkan agar memantau berkaitan tabiat menghisap vape di kalangan belia agar tidak terjerumus dalam aktiviti yang membahayakan kesihatan," katanya.
Pada Sabtu, tular video di media sosial mendakwa terdapat kematian akibat perbuatan menghisap vape menggunakan cecair jenis magic mushroom di Kuala Selangor.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28