TEL AVIV - Ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, Israel semakin terserlah pada Isnin apabila Washington mengetepikan dan membenarkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi menggesa gencatan senjata segera di Gaza.
Keputusan AS untuk berkecuali dalam undian itu mendorong Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membatalkan lawatan yang dijadualkan ke AS oleh dua penasihat utamanya, kata dua pegawai Israel.
Berdasarkan rancangan awal, Penasihat Keselamatan Israel, Tzachi Hanegbi dan Ron Dermer, anggota Kabinet perang dan penasihat rapat, Netanyahu dijadualkan berlepas ke Washington pada Isnin malam untuk membincangkan strategi serangan dan alternatif AS.
Bagaimanapun, lawatan itu dibatalkan sejurus keputusan pengundian Majlis Keselamatan diperoleh. AS sebelum ini telah menggunakan kuasa vetonya menolak gencatan senjata.
Bagaimanapun, pendirian AS berubah minggu lalu apabila pada Jumaat, negara kuasa besar dunia itu mengemukakan resolusi gencatan senjata yang terikat dengan pembebasan tebusan.
Resolusi itu sekali gus dibenarkan apabila ia turut diveto oleh Rusia dan China.
Sikap AS yang berkecuali kali ini membenarkan resolusi terbaharu diluluskan, apabila 14 ahli majlis yang terdiri daripada 15 anggota lain mengundi bersetuju.
Duta Besar AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield berkata, walaupun resolusi terkini termasuk suntingan yang diminta oleh AS, Washington tidak boleh mengundi ya kerana ia 'tidak bersetuju dengan segala-galanya.'
"Gencatan senjata mungkin berlaku kira-kira beberapa bulan lalu jika Hamas bersedia membebaskan tebusan," kata duta itu sambil menyeru negara anggota dan Majlis Keselamatan untuk menuntut Hamas 'menerima perjanjian di atas meja.'
"Sebarang gencatan senjata mesti disertakan dengan pembebasan semua tebusan," tambahnya.
Resolusi itu, yang dikemukakan oleh 10 anggota tidak tetap Majlis Keselamatan menuntut gencatan senjata segera untuk bulan Ramadan, pembebasan segera dan tanpa syarat tebusan serta 'keperluan mendesak untuk meluaskan aliran' bantuan ke Gaza.
Setiausaha Agung PBB, António Guterres menegaskan, kegagalan untuk melaksanakan resolusi itu akan 'tidak boleh dimaafkan.'
"Majlis Keselamatan hanya meluluskan resolusi yang telah lama ditunggu-tunggu mengenai Gaza, menuntut gencatan senjata segera serta pembebasan serta-merta dan tanpa syarat semua tebusan. Resolusi ini mesti dilaksanakan. Kegagalan tidak boleh dimaafkan,” tulis Guterres dalam hantaran di akaun media sosial X.
Kedua-dua Hamas dan pihak berkuasa Palestin mengalu-alukan resolusi itu, manakala Duta Besar Israel ke PBB, Gilad Erdan mengkritik Majlis Keselamatan kerana meluluskan langkah yang menggesa gencatan senjata 'tanpa menyelaraskan pembebasan tebusan.'
"Ia menjejaskan usaha untuk mendapatkan pembebasan mereka," katanya di PBB.
Menteri Luar Israel, Israel Katz pula dalam hantarannya di akaun media sosial X berkata, negaranya tidak akan mematuhi resolusi itu.
"Negara Israel tidak akan melaksanakan gencatan senjata.
"Kami akan memusnahkan Hamas dan terus berjuang sehingga tebusan terakhir pulang ke tanah air,” kata Katz.
Sementara itu, pentadbiran Presiden AS, Joe Biden membuat pilihan untuk berkecuali daripada memveto resolusi Majlis Keselamatan PBB pada hujung minggu berikutan mereka berpeluang mengubah bahagian tertentu teks resolusi itu, menurut seorang pegawai kanan pentadbiran.
Satu lagi sumber menegaskan kepada CNN, AS telah merancang untuk menggunakan kuasa veto, tetapi terdapat usaha diplomatik yang intensif yang berusaha berkompromi sekali gus meletakkan mereka dalam kedudukan berkecuali.
Pada awalnya, teks itu menuntut gencatan senjata kekal dan tidak menyebut rundingan untuk membebaskan tebusan dan AS berjaya mendorong teks itu berubah supaya ia merujuk gencatan senjata yang berkekalan dan merangkumi bahasa mengenai usaha pembebasan tebusan yang sedang dijalankan, kata pegawai itu.
Atas sebab itu, AS percaya bahawa resolusi itu konsisten dengan dasar AS, kata pegawai berkenaan mengenai sentimen yang disuarakan oleh Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.
"Oleh kerana teks terakhir tidak mempunyai bahasa utama yang kami lihat sebagai penting, terutamanya kritikan terhadap Hamas, kami tidak dapat menyokongnya.
"Kegagalan untuk mengkritik Hamas ini amat sukar untuk difahami beberapa hari akan datang selepas dunia sekali lagi menyaksikan tindakan ngeri yang dilakukan oleh kumpulan pengganas,” kata Blinken dalam satu kenyataan.
Undian PBB pada hari Isnin dicapai ketika ketegangan semakin memuncak berhubung operasi ketenteraan Israel di bandar selatan Gaza, Rafah.
AS telah menyeru Israel untuk menjelaskan bagaimana ia akan melindungi 1.4 juta rakyat Palestin yang mencari perlindungan di sana menjelang pencerobohan yang dijangkakan, yang AS sifatkan 'akan menjadi satu kesilapan.'
Duta Besar PBB untuk Wilayah Palestin, Riyad Mansour berkata, keputusan itu merupakan satu undi 'untuk kehidupan yang berterusan.'
"Ia telah mengambil masa enam bulan bagi Majlis Keselamatan untuk menuntut gencatan senjata segera dengan lebih 100,000 nyawa terkorban dan cacat, dua juta kehilangan tempat tinggal serta kebuluran," kata Riyad. - Agensi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28