Bongkar taktik pemandu van putih Thailand

Iklan
Lokman bertemu pelancong dari Thailand yang menaiki 'van pelancong' tanpa dokumen yang dibenarkan melalui Ops Khas Van Putih JPJ dan Pejabat MOTAC Mengesan Ulat Pelancong pada Isnin.

JELI - Taktik 'ulat pelancong' dari Thailand yang membawa penumpang dari negara mereka untuk melancong ke Malaysia terbongkar selepas ditahan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ulat pelancong yang memandu van mewah yang kebanyakannya milik persendirian itu dikesan melalui Ops Khas Van Putih JPJ dan Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Mengesan Ulat Pelancong pada Isnin.

Iklan
Iklan

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, modus operandi mereka ialah membawa penumpang dari negara itu dan kemudiannya menurunkan penumpang sebelum tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Rantau Panjang bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Menurutnya lagi, ketika pemeriksaan di kaunter, penumpang kemudian berjalan melepasi kaunter terbabit dan masuk semula ke dalam van untuk meneruskan perjalanan dan melancong ke destinasi pilihan di negara ini.

Iklan
Pegawai MOTAC (kanan) menyoal siasat pemandu van melalui Ops Khas Van Putih JPJ dan Pejabat MOTAC Mengesan Ulat Pelancong pada Isnin.

"Pemandu itu juga didapati menyalahgunakan Permit Peredaran Antarabangsa (ICP) dengan membawa 'pelancong' menggunakan kenderaan milik persendirian," katanya kepada pemberita selepas operasi itu di Stesen Penguat Kuasa JPJ Jeli.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Penguat Kuasa, Ibu Pejabat JPJ, Dr Azmi Awang.

Iklan

Lokman memberitahu, tindakan ulat pelancong itu boleh menjejaskan industri pelancongan negara selain merugikan pemandu teksi serta van pelancong di negara ini.

"Kita melakukan risikan selama tiga hari sekitar daerah Jeli dan Rantau Panjang selepas menerima aduan daripada orang awam mengenai 'keberanian' pemandu van itu," katanya.

Jelas beliau lagi, pemeriksaan lanjut turut mendapati warga Thailand itu membayar sebanyak RM70 untuk satu tempat duduk di dalam van dan boleh pergi ke beberapa destinasi termasuk Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu.

Tambah Lokman, kesemua pemandu van akan disiasat bawah Seksyen 5(2) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) iaitu menjalankan atau menganjurkan dirinya sebagai menjalankan perniagaan kenderaan pelancongan tanpa lesen yang sah.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya," katanya.

Kira-kira 35 pegawai dan anggota JPJ serta MOTAC menyertai operasi selama tiga jam bermula 4 petang sebelum berbuka puasa bersama di stesen penguat kuasa berkenaan.

Dalam tempoh itu juga, sebanyak 15 kenderaan dikesan melakukan kesalahan teknikal di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) termasuk di bawah Seksyen 5(2) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482)

Orang awam boleh membuat aduan kepada MOTAC atau JPJ jika terdapat pihak menganjurkan perniagaan kenderaan pelancongan tanpa lesen yang sah menggunakan Aplikasi MyJPJ e-aduan@jpj atau emel aduantrafik@jpj.gov.my.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28