KUALA TERENGGANU - Agihan bubur lambuk percuma sempena Ramadan kali ini terus mendapat sambutan apabila 500 bekas habis diedarkan dalam tempoh hampir satu jam.
Proses agihan itu dilakukan oleh syarikat teksi e-hailing antarabangsa Maxim di Masjid Abidin di sini, baru-baru ini.
Ketua Bahagian Maxim Terengganu, Ammar Aziz berkata, agihan itu bertujuan untuk berkongsi semangat dan kegembiraan pada Ramadan yang penuh keberkatan ini.
"Bagi memastikan semangat Ramadan terus bersinar, Maxim menganjurkan pengagihan makanan untuk membantu mereka yang memerlukan dan untuk terus membina hubungan mesra dengan masyarakat.
"Kita mengedarkan 500 pek bubur lambuk sekitar jam 6 petang hingga 7 malam untuk mereka yang datang ke masjid.
"Mereka juga diberikan kalendar Islam sebagai merujuk waktu imsak dan berbuka puasa," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Jelas beliau, program seperti ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang bagi membentuk keharmonian dalam kalangan masyarakat.
"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak pengurusan Masjid Abidin dan kepada mereka yang terlibat semasa pengagihan makanan.
"Kita harap dengan perkongsian ini ia sedikit sebanyak memberi kegembiraan dan makna kepada mereka," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28