Shevon: Kamu sentiasa teguh dalam hubungan ini Soon Huat

Iklan
Soon Huat-Shevon Lai bersama Tang Jie-Ee Wei selepas perlawanan akhir Terbuka Switzerland Super 300 di Saint Jakobshalle, Basel. Foto Agensi

BEREGU campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menamatkan badi dua kekalahan berturut-turut dalam perlawanan akhir Terbuka Switzerland Super 300 2022 dan 2023 apabila menjuarai edisi 2024.

Pada aksi akhir di Saint Jakobshalle, Basel, Soon Huat-Shevon Lai memanfaatkan sepenuh pengalaman untuk menjinakkan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, straight set 21-16, 21-13 dalam masa 36 minit.

Iklan
Iklan

Beregu ranking ke-14 dunia itu mencipta kejutan ke atas pasangan ranking kesembilan dunia dalam dua kejuaraan yang sebelum ini diakhiri berstatus naib juara edisi 2022 dan 2023.

Edisi 2022 pula menyaksikan wakil Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Lohau menafikan impian Soon Huat-Shevon Lai dengan meraih kemenangan 12-21, 21-18, 21-17 dalam aksi tiga set.

Iklan

Soon Huat yang teruja dengan gelaran itu berkata, kejayaan diraih adalah hasil daripada kerja keras mereka selama ini.

"Juara Terbuka Switzerland 2024, kejayaan ini adalah hasil keringat dan air mata kami selepas menunggu selama tiga tahun.

Iklan

"Sangat teruja dengan kejuaraan ini yang amat bermakna buat kami berdua selepas tewas dua kali dalam perlawanan akhir di Terbuka Switzerland selama dua tahun.

"Apa yang saya boleh katakan bahagian paling mencabar ialah mindset dan mentaliti kami yang berjaya urus sebaiknya dalam menghadapi pelbagai situasi dalam gelanggang," katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Mengenai perancangan selepas ini, Soon Huat berkata, tumpuan seterusnya adalah bagi mengharungi Kejuaraan Sepanyol Masters Super 300 di Madrid dari 26 hingga 31 Mac.

"Cabaran di Switzerland berakhir dengan motivasi terbaik bagi kami memulakan cabaran baharu selepas ini. Mentaliti kami kini fokus tampil aksi terbaik kepada satu lagi kejohanan dalam minggu baharu di Sepanyol.

"Terima kasih kepada penyokong yang memberikan sokongan dan penaja yang sentiasa menyokong sepanjang dan mempercayai kami sepanjang masa,” katanya.

Sementara itu, Shevon Lai memuji pasangannya, Soon Huat apabila menyifatkan kejuaraan diraih adalah hasil usaha tidak pernah kenal erti putus asa.

"Buat teman sehati Goh Soon Huat, terima kasih kerana menjadi sumber kekuatan, keyakinan dan juga penyokong kuat saya.

"Kamu sentiasa berpegang kepada semangat apabila keadaan menjadi sukar. Kamu tidak pernah membenarkan sebarang halangan untuk menjatuhkan kita berdua, dan tidak kira sejauh mana sukarnya halangan, kamu sentiasa berdiri teguh dalam kerjasama ini dan hubungan ini.

"Saya harap detik indah kejayaan ini akan menjadi memori buat kita untuk sepanjang masa," kata Shevon yang turut mendedikasikan kejayaan tersebut kepada jurulatih Teo Kok Siang dan pasukan mereka selama ini.

Sementara kepada Tan Jie-Ee Wei, Shevon Lai menitip pesanan supaya gandingan tersebut sentiasa berusaha menghasilkan keputusan positif demi Malaysia.

"Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei, kamu akan terus menjadi terbaik. Teruskan menyinar," kata Shevon.

Kemenangan itu membolehkan Soon Huat-Shevon membawa pulang hadiah AS$16,590 (RM78,583) manakala naib juara Tang Jie-Ee Wei meraih AS$7,980 (RM37,799).

INFO

Kejuaraan Terbuka Switzerland 2024 merupakan gelaran ketiga Soon Huat-Shevon dalam Siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas kejuaraan Terbuka Jerman 2018 dan Terbuka Singapura 2018.

Soon Huat-Shevon cipta sejarah apabila menjadi pasangan Malaysia yang pertama merangkul gelaran beregu campuran Terbuka Switzerland, sejak kategori itu diperkenalkan pada 1956.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28