SHAH ALAM - Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (KRPPM-IGAR) selesai membincangkan empat fokus utama dalam reformasi institusi bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di pejabatnya di Parlimen pada Isnin.
KRPPM-IGAR dalam satu kenyataan berkata, empat fokus utama tersebut seperti pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Akta Perkhidmatan Parlimen, pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2009 dan penggubalan Akta Kebebasan Maklumat.
"Skop perbincangan ini antara lain adalah garis masa pelaksanaan reformasi institusi berkenaan, pemerkasaan libat urus pelbagai pihak dan agensi kerajaan.
"Ia bagi mengukuhkan sistem semak dan imbang dalam menjamin reformasi institusi yang dilaksanakan secara efektif,” katanya.
Pertemuan tersebut turut dihadiri Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh, beberapa pakar termasuk Tan Sri Syed Hamid Albar, Shah Hakim Zain, Maha Balakrishnan, Dr Muhammad Mohan dan Norhayati Nordin.
Sinar Harian pada 21 Mac lalu melaporkan bahawa KRPPM-IGAR bersetuju agar empat daripada lapan tuntutan yang dikemukakan dilaksanakan secara berfasa.
Jelas Syed Ibrahim, pihaknya bersetuju berbuat demikian selepas mengadakan beberapa siri mesyuarat dan libat urus bagi meneliti kepentingan reformasi institusi.
Menurutnya lagi, ia bertujuan mengawal ketirisan, konflik kepentingan, pengukuhan ketelusan terhadap integriti, tata kelola serta agenda antirasuah.
KRPPM-IGAR memaklumkan, pihaknya turut membangkitkan mengenai mekanisme evaluasi dan strategi komunikasi yang berkesan.
Tambahnya, ia bagi menguruskan persepsi serta keyakinan rakyat terhadap realisasi manifesto kerajaan dalam membawa agenda reformasi negara.
"KRPPM-IGAR juga menjadi jambatan kepada keterlibatan pelbagai pihak dalam memastikan reformasi institusi dapat diimplementasikan dengan tepat demi kesejahteraan rakyat,” jelasnya.
Pada masa sama, Azalina turut menegaskan Kerajaan Madani komited terhadap agenda reformasi yang sedang berlangsung.
Katanya lagi, ia bagi memastikan setiap cadangan yang dibentangkan benar-benar diteliti oleh pelbagai pihak terbabit daripada segala sudut kesan jangka pendek atau panjang.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28