PETALING JAYA - Hasrat seorang lelaki kurang upaya (OKU) mengumpul wang sempena menyambut Aidilfitri musnah apabila menjadi mangsa penipuan sindiket pemerdagangan manusia di sempadan Myanmar-Thailand sejak tiga minggu lalu.
Mangsa berusia 28 tahun itu, dijanjikan upah lumayan untuk bekerja di Myawaddy, namun dia telah dipaksa menjadi ejen sindiket penipuan di negara jiran.
Ibu kepada mangsa Nur Aniyah Matramin, 54, berkata, anaknya ditawarkan kerja sebagai jurubina dengan gaji RM10,000 selama seminggu.
Menurut peniaga yang berasal dari Kampung Baru itu, anaknya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10 Mac dan selepas itu mangsa gagal dihubungi oleh ahli keluarga.
Walau bagaimanapun, pada minggu lalu sekitar jam 3 pagi mangsa menghubungi ibunya menerusi pesanan suara aplikasi WhatsApp untuk meminta bantuan.
"Anak saya berjanji untuk pulang ke Malaysia pada 15 Mac, namun sindiket itu kata sama ada 16 atau 18 Mac baru anak saya balik, tapi sehingga hari ini dia tidak pulang.
"Individu yang tawarkan pekerjaan ini ialah kawan baik anak saya. Dia bekerja sebab nak kumpul duit belanja Aidilfitri.
"Telefon dia hilang selepas tiba di sana dan menghubungi saya menggunakan telefon kawan dia. Itu pun secara sembunyi selepas beberapa minggu gagal hubungi dia.
"Anak saya mengadu diseksa, dipukul dan dipaksa makan daging babi,” katanya dalam sidang akhbar di Restoran Uncle Lim’s, Sea Park, di sini pada Selasa.
Turut hadir Timbalan Cabang Keadilan Segambut, Derick Teh.
Dalam pada itu, menurut abang ipar mangsa, Abdul Rahim, 35, susulan kegagalan menghubungi mangsa, ahli keluarga telah membuat dua laporan polis.
Ujarnya, menerusi pesanan suara yang dihantar oleh mangsa, keluarga perlu membayar wang tebusan sebanyak AS$8,000 atau bersamaan RM39,000.
"Ahli keluarga sudah membuat laporan polis dan kami diminta untuk menunggu tindakan susulan daripada pihak berkuasa.
"Kalau boleh saya minta kerajaan bantu adik ipar saya kembali ke pangkuan keluarga. Dia nak menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan mak,” ulasnya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO), Daniel Khoo berkata, golongan belia yang ingin bekerja di luar negara perlu memeriksa butiran permit di pejabat Kementerian Luar Negeri.
Tambah beliau, setiap keputusan yang dibuat perlu mendapatkan pandangan ibu bapa atau orang terdekat.
"Saya ingin menasihatkan anak-anak muda di luar sana supaya tidak terburu-buru dalam membuat keputusan berkaitan tawaran kerja di negara jiran.
"Keadaan ekonomi negara baru sahaja pulih, jadi saya harap semua bersabar dan jangan membuat keputusan melulu,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28