Jariah Al-Barakah Bank Rakyat bantu tingkat ekonomi penduduk luar bandar

Iklan
Penyerahan sumbangan projek Kubah Pengering Solar oleh Ketua Pegawai Syariah Bank Rakyat, Mohd Zamerey Abdul Razak (empat, kiri) untuk manfaat masyarakat di Pulau Ketam.

INISIATIF Jariah Al-Barakah Bank Rakyat diwujudkan bagi membantu meningkatkan produktiviti ekonomi penduduk selain memperkasakan usahawan luar bandar.

Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, menerusi inisiatif itu, pihaknya telah menyerahkan sumbangan keseluruhan RM83,000 untuk manfaat masyarakat di Pulau Ketam, dekat sini.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, sumbangan sebanyak RM48,000 disalurkan untuk pembelian teknologi Kubah Pengering Solar dalam sektor perikanan.

"Inisiatif ini merupakan kerjasama strategik antara Bank Rakyat, ASNB Wakalah Sdn Bhd (AWSB) bersama Association of Islamic Banking and Financial Institutions Malaysia (AIBIM) serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi mendukung inisiatif myWakaf dalam memberi fokus kepada penyediaan kemudahan teknologi untuk pacu ekonomi masyarakat,” katanya.

Iklan

Majlis perasmian Projek Wakaf Kubah Pengering Solar tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Wilayah Utara Bank Rakyat, Syed Nasser Hussain Syed Othman Ali serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Iklan

Kemudahan teknologi Kubah Pengering Solar adalah bagi mempercepatkan proses pengeringan hasil laut agar lebih bersih dan tidak terdedah kepada ketidaktentuan cuaca berbanding kaedah pemprosesan tradisional yang mengambil masa beberapa hari untuk menghasilkan makanan alternatif seperti ikan masin.

Majlis perasmian Projek Wakaf Kubah Pengering Solar disempurnakan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Pulau Ketam, Kuala Perlis.

Selain itu, Bank Rakyat turut menyerahkan sumbangan zakat sebanyak RM35,000 untuk bantuan ASNAFPRENEUR dalam mengurus dan menjayakan projek wakaf tersebut.

"ASNAFPRENEUR merupakan salah satu inisiatif dalam membantu usahawan asnaf yang berpotensi untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

"Menerusi projek tersebut, lapan usahawan asnaf diberikan latihan pengurusan dan pemprosesan ikan kering selama dua hari serta sesi pemantauan, bimbingan dan motivasi oleh pekerja am yang dilantik selama setahun,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Bank Rakyat turut menyalurkan bantuan zakat sebanyak RM10,000 kepada Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq Seberang Ramai, Kuala Perlis bagi mengimarahkan masjid dengan pelbagai program dan aktiviti bermanfaat kepada masyarakat.

Jariah Al-Barakah merupakan platform yang menggalakkan masyarakat untuk mengerjakan amalan bersedekah demi kesejahteraan bersama.

"Hasil kutipan yang diperoleh akan dilaburkan, kemudian keuntungan pelaburan tersebut disalurkan untuk pembangunan sektor pendidikan, kesihatan dan pemerkasaan ekonomi masyarakat.

"Inisiatif ini bertepatan dengan konsep Malaysia Madani bagi membantu membina masyarakat progresif dan inklusif dengan memberi penekanan terhadap inisiatif pembangunan ekonomi yang dinamik, yang mana setiap golongan masyarakat diberikan akses dan kemudahan setara untuk capai pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan secara keseluruhan,” jelasnya.

Individu yang berhasrat untuk menyumbang boleh berbuat demikian dengan menggunakan medium perbankan dalam talian menerusi akaun Surau Al-Barakah (Jariah Al-Barakah), 11-0146-412-2 (Bank Rakyat) atau Perkhidmatan JomPay (Biller Code: 26492) atau imbas kod QR DuitNow.