Ular sawa lebih 4 meter ditangkap

Iklan
Abdul Muiz (kiri) dan rakan-rakannya menunjukkan ular sawa batik yang berjaya ditangkap oleh mereka di Kampung Tali Air 7 Sungai Leman, kelmarin.

SEKINCHAN - Seekor ular sawa batik seberat kira-kira 20 kilogram berjaya ditangkap penduduk kampung selepas kelibat reptilia itu kelihatan beberapa jam di tepi jalan Kampung Tali Air 7, Sungai Leman, di sini kelmarin.

Seorang penduduk, Abdul Muiz Nazelan, 28, berkata, ular itu mula dikesan seorang rakannya yang dalam perjalanan ke kedai makan kira-kira jam 8 malam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, rakannya terkejut apabila reptilia sepanjang 4.27 meter itu masih berada di tepi jalan sama ketika pulang ke rumah pada jam 11 malam.

"Rakan saya kemudiannya memaklumkan kejadian dalam kumpulan WhatsApp penduduk kampung," katanya.

Iklan

Abdul Muiz berkata, dia dan 10 rakannya kemudian bertemu di lokasi terbabit untuk menangkap ular sawa berkenaan.

"Ular sawa ini berada tak jauh dari penempatan penduduk dan kita risau jika reptilia ini menyusup masuk ke rumah penduduk berhampiran," katanya.

Iklan

Menurutnya, dia bersama rakannya yang bersiap sedia dengan kayu dan karung guni mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap reptilia itu.

"Kami terpaksa berhati-hati kerana ular sawa ini bertindak agresif.

"Saya kemudiannya tarik ekor ular ke atas jalan sambil rakan yang lain menindih kepala ular itu dengan kayu lalu menangkapnya.

"Ular ini dimasukkan ke dalam karung guni dan dilepaskan semula ke habitat asalnya di kawasan hutan yang jauh dari penempatan penduduk," katanya.

Abdul Muiz berkata, pengalamannya mengikuti kursus asas haiwan liar sewaktu belajar di sebuah institusi pengajian tinggi memberi keyakinan kepadanya untuk menangkap ular.

"Saya teruja sebab ini pengalaman pertama berdepan situasi tersebut meskipun menyedari berdepan risiko bahaya jika tersalah langkah," katanya.