CCoE berpotensi jadi destinasi antarabangsa tangani ancaman siber

Iklan
Anwar berucap merasmikan pembukaan Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber di MCMC pada Selasa. Foto Bernama

CYBERJAYA - Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber (CCoE) Malaysia berpotensi menjadi destinasi antarabangsa untuk menangani ancaman siber, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pusat itu yang dilancarkan pada Selasa boleh menjadi medan pertemuan antara universiti Malaysia dan Kanada, institusi penyelidikan dan pekerja mahir untuk berkongsi pengetahuan, maklumat ancaman dan membangunkan bersama kaedah dan strategi untuk memperkukuh daya tahan siber negara dan serantau.

Iklan
Iklan

"CCoE adalah satu pencapaian penting dalam usaha kita ke arah mewujudkan ekosistem keselamatan siber yang teguh, yang memerlukan perkongsian kukuh merentas sektor awam dan swasta.

Majlis hari ini merupakan susulan daripada perjanjian perkhidmatan perisian jangka panjang yang dimeterai antara syarikat perisian Kanada itu dengan Malaysia semasa Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di San Francisco pada November tahun lepas.

Iklan

Turut hadir pada majlis itu termasuklah Menteri Penggalakan Eksport, Perdagangan Antarabangsa dan Pembangunan Ekonomi Kanada, Mary Ng; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia Malaysia, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pegawai Eksekutif BlackBerry, John J. Giamatteo.

Sementara itu, Anwar memuji usaha Blackberry membantu Malaysia meningkatkan kemahiran pasukan pertahanan siber generasi akan datang untuk mempercepat matlamat memperkukuh keselamatan dan merangsang inovasi di peringkat negara dan serantau.

Iklan

Perdana Menteri berkata, Malaysia mengalami kekurangan 12,000 profesional keselamatan siber dan menegaskan negara memerlukan kira-kira 25,000 pekerja dalam sektor keselamatan siber menjelang 2025.

"Kami membayangkan pusat ini sebagai hab pembinaan kapasiti bagi rantau Asia Tenggara dengan tumpuan khusus meningkatkan perkongsian maklumat ancaman dan merangsang kerjasama serantau dalam mengurangkan ancaman keselamatan siber dan memerangi jenayah siber.

"Menjalin perkongsian antarabangsa, khususnya yang memanfaatkan teknologi canggih seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan Pembelajaran Mesin, adalah dengan mengambil kira kepentingan dalam pertumbuhan positif trajektori ekonomi kita.

"Menerusi kerjasama strategik ini, kita bukan sahaja merangsang kemajuan dan kemakmuran ekonomi tetapi juga meningkatkan daya tahan infrastruktur keselamatan siber kita terhadap risiko yang melanda landskap digital, dengan memastikan data negara dan rakyat selamat,” katanya.

Sehingga Februari 2024, liputan 5G di Malaysia telah mencapai 80.3 peratus liputan di kawasan berpenduduk manakala liputan Internet sebanyak 97.07 peratus.

Sementara itu, Mary Ng terdahulu menerusi ucapannya berkata, dalam era digital ketika ini keperluan global terhadap penyelesaian keselamatan siber inovatif terus meningkat.

"Saya gembira kepakaran Kanada dalam bidang ini dapat membantu mewujudkan ruang siber yang lebih selamat di Malaysia.

"Pengumuman (kerjasama pusat kecemerlangan) oleh BlackBerry adalah contoh jelas bagaimana Strategi Indo-Pasifik Kanada menyokong usaha untuk mengurangkan dan menangani ancaman keselamatan di rantau ini," katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28