SUNGAI PETANI - Beberapa penduduk dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paya Nahu 2, di sini, melahirkan rasa kesal dengan tindakan sebahagian penyewa yang gagal menjelaskan bayaran bulanan sehingga menyebabkan bekalan air terjejas.
Penduduk, Siti Hajar Azmi, 45, berkata, ketiadaan bekalan air menyebabkan urusan memasak berbuka puasa dan bersahur menjadi rumit selain urusan harian turut tergendala.
Menurutnya, bekalan air mula dihentikan pada pukul 10 pagi Isnin ketika sedang mencuci pakaian menyebabkannya terpaksa mengerah tenaga anak-anak mengangkut air biarpun dalam keadaan berpuasa.
"Selain itu, saya terpaksa berhabis duit membeli air untuk minum dan memasak juadah berbuka disebabkan tidak pernah menjangka perkara begini terjadi," katanya.
Dakwanya, bekalan air terhenti akibat sebahagian besar penduduk di 22 buah blok perumahan di situ gagal menjelaskan bayaran sewa bulanan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (SUK).
"Teruklah kami yang tidak pernah gagal menjelaskan sewa kerana turut terpalit sama dan terkesan selepas bekalan air bersih terjejas,"dakwanya.
Dia mendakwa, kegagalan berbuat demikian telah meghalang pejabat SUK menjelaskan bil bekalan elektrik yang telah tertunggak melebihi ratusan ribu ringgit hingga memaksa Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik di dua bilik pam air tersebut.
Selain itu, Muhammad Syawal Nordin, 28, berkata, dia terkejut apabila sampai di rumahnya pada pagi Isnin mendapati tiada bekalan air.
"Seperti biasa sebaik sampai di rumah selepas habis kerja sebagai pengawal keselamatan, saya akan mandi dahulu tetapi hari ini terkejut kerana tidak boleh berbuat demikian akibat ketiadaan air.
"Saya kemudian dimaklumkan oleh jiran bahawa air tiada kerana bekalan elektrik di dua bilik pam air di sini telah dipotong akibat tunggakan yang banyak,"dakwanya.
Penduduk, Muhammad Abbas, 40, terkilan dengan tindakan sebahagian besar penduduk yang enggan menjelaskan sewa rumah selama ini sehingga menyebabkan tunggakan yang tinggi.
"Dengan keadaan cuaca panas dan ujian menghadapi puasa sekarang, ketiadaan air memang memeritkan terutamanya untuk rumah yang mempunyai ahli keluarga ramai," katanya.
Tinjauan mendapati, penduduk mula mengangkut air dari telaga tiub yang disediakan oleh pihak pengurusan Surau Imaduddin di situ selain mendapatkannya dari pili bomba.
Sementara itu, Duta Komuniti Kementerian Perumahan Kerajan Tempatan (KPKT) PPR Paya Nahu 2, Muhammad Rudey Latif mengakui kegagalan sebahagian besar daripada lebih kurang 5,000 penduduk membayar sewa bulanan rumah kepada SUK menyebabkan situasi itu berlaku.
"Kita dapati sebahagian besar penduduk tidak menjelaskan sewa bulanan mereka kepada pejabat berkenaan yang merupakan pemilik kesemua blok di PPR Paya Nahu 2 ini hingga mencecah ratusan ribu ringgit.
"Kita sedang berbincang dengan beberapa pihak berkaitan untuk membantu menyelesaikan masalah ini segera agar penduduk dapat menjalani ibadah berpuasa dengan sempurna dan kembali meneruskan rutin harian seperti biasa," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28