KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Wang Tak Dituntut (Pindaan) 2024.
RUU itu diluluskan selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying setelah jawatankuasa mempertimbangkan usul dicadangkan itu tanpa sebarang pindaan.
Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan membentangkan RUU tersebut yang bertujuan meminda Akta Wang Tak Dituntut 1965 (Akta 370) melibatkan fasal 1 hingga fasal 12.
Antaranya fasal 9 bertujuan untuk meminda subseksyen 10a(1) Akta 370 bagi memperuntukkan bahawa daftar wang tak dituntut yang mengandungi butir-butir tentang wang tak dituntut yang dipegang oleh syarikat atau firma yang kekal tidak dibayar sehingga ke hari terakhir bulan Disember tahun yang sebelumnya hendaklah disiarkan melalui perantara elektronik atau secara penyampaian elektronik.
Pindaan yang dicadangkan bertujuan untuk membolehkan wang tidak dituntut dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan apabila luput tempoh 10 tahun dari tarikh wang itu dikreditkan ke Akaun Amanah Disatukan.
Sekiranya rang undang-undang ini diluluskan, jumlah WTD yang akan dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan mencecah RM1.98 bilion pada awal pelaksanaan. - Bernama
Dewan Rakyat lulus RUU Cukai Pendapatan 2024 & RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 2024
KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Pendapatan (Pindaan) 2024 dan RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) 2024.
RUU itu diluluskan selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying setelah jawatankuasa mempertimbangkan usul dicadangkan itu tanpa sebarang pindaan.
Terdahulu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan membentangkan RUU Cukai Pendapatan tersebut yang bertujuan untuk meminda Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53).
Pindaan itu melibatkan fasal 1 hingga fasal 9 bagi melaksanakan pindaan bersifat penambahbaikan terhadap dasar serta pentadbiran cukai.
Antaranya fasal 2 bertujuan untuk menggantikan takrif 'capital asset' dalam subseksyen 2(1) Akta 53 dan fasal 3 bertujuan untuk meminda seksyen 15c Akta 53, bertujuan untuk menjelaskan bahawa pelupusan syer dalam syarikat terkawal.
Pindaan melibatkan Seksyen 2, 3, 4, 8 dan 9 akan mula berkuat kuasa apabila berkuat kuasanya akta itu manakala Seksyen 5 dan 6 disifatkan telah mula berkuat kuasa pada 1 Jan 2024 dan Seksyen 7 berkuat kuasa bagi tahun taksiran 2024 dan tahun-tahun taksiran yang berikutnya.
Hui Ying berkata, hasrat pelaksanaan cukai keuntungan modal adalah untuk memperluas asas cukai serta selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.
Selain itu, pelaksanaan cukai keuntungan modal juga penting untuk menyokong satu reformasi percukaian secara adil dan saksama selaras dengan aspirasi berhubung prinsip keadilan sosial yang menjadi tonggak kerajaan MADANI, katanya.
Sementara itu, RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) 2024 pula bertujuan meminda Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990 (Akta 445), yang melibatkan dua fasal.
Pindaan iu disifatkan telah mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2024.
Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa akta yang dicadangkan manakala fasal 2 bertujuan untuk meminda subseksyen 22DA(6) Akta 445 untuk menghendaki penyedia platform perdagangan elektronik untuk mengeluarkan invois bil kendiri mengikut syarat dan spesifikasi sebagaimana yang ditentukan oleh Ketua Pengarah. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28