IPOH - Polis Perak menerima lima laporan polis berhubung kejadian penyebaran surat layang gangguan seksual melibatkan seorang doktor di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) baru-baru ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, lima laporan polis tersebut dibuat oleh doktor yang didakwa melakukan perbuatan tersebut di dalam surat layang berkenaan.
Menurutnya, tiada sebarang laporan diterima daripada mana-mana pihak termasuk doktor pelatih yang didakwa menjadi mangsa.
"Lima laporan tersebut diterima daripada doktor yang telah ditohmah dalam surat layang tersebut dan kita tidak ada terima apa-apa laporan daripada doktor pelatih.
"Seperti biasa kita meminta kepada orang ramai atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam kes tersebut untuk tampil ke balai polis berdekatan memberi kenyataan dan kerjasama kepada pihak polis untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Pencegahan Jenayah Komersil Phone Scam - Penyamar Pos Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan seorang doktor lelaki di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) membuat laporan polis kerana menerima surat layang dan mendakwa ia memburukkan namanya.
Surat layang itu ditularkan menerusi Facebook dan X, sehingga meraih perhatian warganet, dengan mendakwa doktor terbabit sering melakukan gangguan seksual terhadap doktor pelatih wanita, khususnya di Jabatan Ortopedik serta mengugut untuk memanjangkan tempoh latihan mereka.
Dalam perkembangan lain, Mohd Yusri berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan 19 individu berkaitan isu bom ikan di Hutan Simpan Temengor yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurutnya, mereka yang diambil keterangan termasuklah individu yang tertera di dalam video tular tersebut.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan sekumpulan lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan mengebom ikan apabila beberapa bangkai haiwan itu ditemui di sekitar kawasan sungai dalam hutan.
Kejadian itu disedari seorang pemancing dikenali Faizal bersama lapan rakannya yang datang ke kawasan hutan itu untuk memancing dan beriadah.
Sebelum ini, tular rakaman video memaparkan sekumpulan lelaki menunjukkan hasil tangkapan ikan seperti kelah, tengas dan lampam yang banyak di satu kawasan sungai dalam hutan.
Berikutan itu, Jabatan Perikanan menyiasat aktiviti tular itu yang dikatakan menangkap ikan dengan cara yang salah dan mencurigakan.