Rompak guru: Dua rakan dipenjara 10 tahun, tiga sebatan

Iklan
Dua sahabat masing-masing dijatuhi hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan oleh Mahkamah Seksyen Tawau pada Selasa atas kesalahan merompak menggunakan parang ke atas seorang guru wanita di Kampung Pasir Putih di Tawau, dua minggu lepas. Gambar hiasan

TAWAU - Dua sahabat masing-masing dijatuhi hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan oleh Mahkamah Seksyen Tawau pada Selasa atas kesalahan merompak menggunakan parang ke atas seorang guru wanita di Kampung Pasir Putih di sini, dua minggu lepas.

Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas Muhamad Hafiz, 20, seorang penganggur dan rakannya seorang warga Indonesia Hamzah Azri, 43, yang juga buruh kontrak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka.

Iklan
Iklan

Mereka dituduh merompak secara berkumpulan terhadap guru itu dengan menggunakan sebilah parang dan seutas tali nylon yang boleh menyebabkan kecederaan atau kematian di rumah mangsa beralamat Kampung Pasir Putih, di sini, pukul 5.40 pagi pada 15 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebatan bagi Seksyen 395 manakala Seksyen 397 pula hendaklah dikenakan hukuman sebatan sebagai tambahan kepada apa-apa hukuman lain yang dijatuhkan, jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Hamzah juga dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah kerana sengaja menghapuskan harta curi membabitkan rompakan terhadap guru berkenaan.

Iklan

Harta terbabit adalah sebuah beg tangan coklat, sebuah dompet biru berlogo MK, lima kad bank, satu kad kesihatan, Mykad, satu buku akaun simpanan Lembaga Tabung Haji serta lesen memandu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 15 Mac lepas mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan, dan Majistret Don Stiwin Malanjum mengarahkan tertuduh menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Intan Jamrin manakala Hamzah tidak diwakili peguam. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28