KAJANG - Surat seorang bapa yang mempertikaikan larangan penggunaan beberapa jenis beg di sebuah sekolah tular dan mendapat perhatian warganet.
Mohd Zaki Ab Latif berkata, arahan seorang guru disiplin ketika perhimpunan sekolah pada 3 Januari lalu itu membebankan ibu bapa untuk membeli beg baru terutama yang memiliki anak ramai.
Guru berkenaan mengumumkan beg komputer riba dan beg jenama barang elektrik dilarang digunakan di sebuah sekolah di sini.
"Apakah kewajarannya guru disiplin mengeluarkan arahan sedemikian? Adakah kerana beg sandang 'laptop' ini menjejaskan keselamatan sekolah atau mengancam nyawa guru disiplin sekolah ini?
"Apa masalah dengan ‘compartment’ barang dalam beg laptop tersebut? Jika perlu buat ‘spot check’ untuk tujuan keselamatan, maka lakukanlah tetapi jangan menyusahkan ibu bapa dengan memaksa kami membeli beg baharu mengikut kehendak ‘guru supervillain’ atau guru disiplin ini," luahnya pada sepucuk surat yang tular di aplikasi WhatsApp hari ini.
Intipati surat itu menjelaskan beg komputer riba, beg jenama barang elektrik itu diperolehi secara percuma apabila ibu bapa membeli barangan elektrik atau komputer riba selain ia berkualiti.
"Ia menjimatkan perbelanjaan keluarga pelajar tersebut dan memiliki kualiti lebih baik daripada beg sekolah biasa. Beg ini boleh bertahan sehingga lima tahun jika dijaga dengan baik.
"Di manakah logik akalnya guru disiplin menghalang para pelajar sekolah menggunakan beg pack laptop atau beg sandang jenama elektrik yang percuma ini," katanya.
Dalam surat berkenaan, Mohd Zaki juga dalam nada sinis memberitahu, guru berkenaan perlu memberi beg secara percuma kepada 2,900 pelajar di sekolah tersebut jika mahu mengimplementasikan perkara tersebut.
"Gaji seorang guru disiplin lebih kurang RM54,000 setahun. Takkan tak boleh sedekahkan sedikit wang gaji anda untuk membelikan hadiah buat para pelajar sekolah anda? Kenapa tidak? Takut duit habis? Bagaimana pula dengan ibu bapa yang menanggung beban nak beli beg sekolah baru mengikut kehendak anda? Tak beban pula ibu bapa seperti kami ini?" ujarnya.
Selain itu, beliau menyatakan larangan itu juga boleh membuatkan pelajar takut untuk ke sekolah gara-gara menggunakan beg berkenaan.
Sehubungan itu, Mohd Zaki berharap Kementerian Pendidikan memandang serius perkara tersebut dan turun padang mendengar keluhan ibu bapa.
"Oleh yang demikian, saya memohon kebijaksanaan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pemangku Menteri Pendidikan Malaysia menyelesaikan masalah ini.
"Mohon juga pihak Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Jabatan Pendidikan Daerah Hulu Langat memantau arahan guru ini yang menyusahkan ramai pihak," ujarnya.
Dalam surat yang tular bertarikh 11 Januari itu juga memaparkan dua jenis beg yang dilarang digunakan di sekolah.