PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu Khamis minggu depan.
Ia susulan suruhanjaya itu telah menerima pemakluman rasmi mengenai kekosongan luar jangka kerusi tersebut yang sebelum ini disandang oleh mendiang Lee Kee Hiong.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh.
"Tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain bagimelaksanakan pilihan raya tersebut akan dibincang dan diputuskan di dalam mesyuarat berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.Ujar beliau, satu sidang akhbar akan diadakan sejurus mesyuarat berkenaan selesai.
Kee Hiong meninggal dunia pada Khamis minggu lalu akibat kanser.
Mendiang berusia 58 tahun dan dikatakan telah bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lalu.
Beliau menjadi wakil rakyat DUN Kuala Kubu Baharu sejak 2013 dan ini adalah penggal ketiganya selepas mengekalkan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri Selangor 2023.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28