SYDNEY - Polis Australia pada Selasa memaklumkan tiada tindakan akan diambil terhadap bapa penyanyi terkenal Amerika Syarikat (AS), Taylor Swift selepas dia didakwa menumbuk seorang jurugambar ketika turun dari sebuah kapal layar pada bulan lalu.
Jurugambar veteran, Ben McDonald berkata, dia sedang mengambil gambar bintang pop tersebut ketika Swift bersama rombongannya meraikan berakhirnya siri jelajah di Sydney.
Iklan
Iklan
Penyanyi itu bagaimanapun berasa tidak selesa apabila privasinya diganggu paparazi malah bertindak melindungi wajahnya dengan payung ketika kumpulan tersebut melalui jeti berkenaan untuk ke kenderaan yang sedang menunggu.
Berang dengan 'gangguan' itu, bapanya, Scott Swift yang terkenal dengan julukan 'Papa Swift' bertindak menumbuk muka McDonald.
"Ia kejadian yang mengejutkan dan tidak pernah berlaku kepada saya dalam tempoh 26 tahun," ujarnya.
Gara-gara tidak berpuas hati, mangsa kemudiannya membuat aduan kepada pihak berkuasa, namun 'Papa Swift' telah meninggalkan negara itu dan menuju ke destinasi konsert seterusnya di Singapura.
Polis Australia bagaimanapun tidak mendedahkan butiran siasatan selepas memutuskan untuk 'menutup' kes tersebut. - AFP