Pemilik, pengarah syarikat ditahan terbabit sindiket seludup rokok, arak

Iklan
SPRM tahan pemilik dan pengarah syarikat kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan rokok serta arak secara haram melalui pintu masuk negara.

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pemilik dan pengarah syarikat kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan rokok serta arak secara haram melalui pintu masuk negara.

Menurut sumber, kedua-dua individu berkenaan dipercayai berperanan sebagai pengumpul akaun keldai bagi pihak sindiket untuk digunakan membayar wang rasuah kepada penjawat awam yang terlibat memberi pelepasan kontena mengandungi rokok dan arak tanpa melalui pemeriksaan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, mereka juga dipercayai turut menjalankan kegiatan haram lain seperti perjudian secara dalam talian dan menjadi orang tengah bagi mencari khidmat forwarding agent bagi kegunaan sindiket haram di negara ini.

Mahkamah Majistret Putrajaya pada Selasa membenarkan permohonan SPRM supaya kedua-dua mereka direman tiga hari sehingga 28 Mac ini.

Iklan

Menurut sumber, Susulan Op Samba 2.0 yang dijalankan sejak dua minggu lepas, Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) semalam telah menahan 14 lagi individu terdiri daripada 12 penjawat awam dan pemilik serta pengarah syarikat ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

"Sebanyak 12 penjawat awam telah dibebaskan selepas keterangan mereka dirakam manakala pemilik dan pengarah syarikat berkenaan ditahan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya.

Iklan

Sebelum ini, menerusi operasi khas yang dijalankan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) berjaya menahan 34 penjawat awam dan sembilan orang awam dipercayai terbabit sindiket berkenaan sejak 2018 hingga 2023.

Sindiket ini dipercayai menggunakan modus operandi dengan menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.

Selain itu, sindiket ini juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’ dan juga melalui pengurup wang.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman dua suspek tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28