'Untuk redakan keadaan, kita serah kepada polis' - Dr Akmal

Iklan
Dr Muhamad Akmal

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menyerahkan segala siasatan berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH kepada pihak polis bagi meredakan keadaan seterusnya dikenakan tindakan keras kepada pihak yang terlibat.

Dr Muhamad Akmal berkata, ia termasuk ugutan bunuh dibuat terhadapnya dan insiden khianat membaling bom petrol pada cawangan kedai serbaneka KK Mart di Perak.

Iklan
Iklan

"Walaupun diugut bunuh, tetapi pendirian saya dan seluruh umat Islam Malaysia tidak akan berganjak untuk kita teruskan kempen #boikotkkmart ini agar menjadi pengajaran yang keras untuk semua supaya tidak memperlekehkan agama Islam di bumi ini.

"Untuk meredakan keadaan kita serahkan kepada pihak polis untuk siasat dan seterusnya dikenakan tindakan yang sekerasnya kepada mereka ini,” katanya dalam siaran di Facebook beliau pada Rabu.

Iklan

Jelas Dr Muhamad Akmal, pihaknya menghormati proses pelaksanaan undang-undang dalam negara namun menegaskan kempen boikot perlu diteruskan pada masa yang sama.

Menurutnya, tindakan itu bagi memberi pengajaran hebat kepada mana-mana pihak yang ingin menghina agama Islam pada masa hadapan.

Iklan

"Kita juga mengecam sekeras-kerasnya isu insiden melampau yang membaling bom petrol ke KK Mart dan ugutan bunuh terhadap saya.

"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak polis dan semua pihak yang terlibat sehingga mereka ini didakwa di mahkamah semalam,” ujarnya.

Sebelum ini video dan tangkap layar gambar stoking yang tertera kalimah ALLAH tular menerusi media sosial yang didakwa dijual di KK Super Mart Bandar Sunway sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam.

Ia turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang murka serta menzahirkan perasaan dukacita dan bertitah mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28