SHAH ALAM - Seorang suami sanggup meredah sejauh 270 kilometer (KM) setiap hari untuk bekerja di ibu kota Kuala Lumpur kerana lebih memilih menetap bersama ahli keluarga di Felda Chemomoi, Pahang.
Ayah kepada tiga orang anak yang hanya mahu dikenali sebagai Reno, 31, berkata, dia mengambil masa sekitar dua jam 30 minit bergantung pada keadaan cuaca.
Menurutnya, jarak perjalanan sehala dari kediamannya adalah 135 km dengan menggunakan jalan pedalaman di kawasan Manchis-Telemong-Karak untuk ke KL.
"Kalau motor CC kecil, saya akan bawa dengan kelajuan maksimum 120 kilometer per jam (km/j) termasuk berhenti di hentian rehat dan rawat (R&R) sekitar satu jam 30 minit,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Reno yang bekerja di kilang swasta di Keramat menceritakan dia mula berulang alik dari Pahang sejak 2016 dan menetap di Kuala Lumpur sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan ketika Covid-19 melanda.
Ujarnya, dia memulakan semula perjalanan sejauh 270km sehari pada pertengahan 2023 atas faktor kos sara hidup tinggi memandangkan hanya dia yang bekerja serta menanggung ahli keluarga lain.
"Pada 2019 saya berkahwin, tapi jodoh tak panjang dan tiada anak. Jadi saya menetap di KL sendirian.
"Pada 2023 pula, saya menikah kali kedua dan mempunyai cahaya mata. Oleh itu, saya buat keputusan untuk menetap sahaja bersama anak dan isteri,” jelasnya.
Ditanya mengenai kos perjalanan, Reno memaklumkan, kira-kira RM600 digunakan untuk kos minyak petrol dan selenggara motosikal manakala RM400 untuk kos makanan namun ia mengikut keadaan kerana kebiasaannya isteri sudah menyediakan bekalan dari rumah.
"Saya akan servis motosikal jenama Yamaha 125zr ini empat hari sekali dan sebulan hampir dua kali tayar akan diganti,” katanya lagi.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28