Tiada kes strok haba libatkan pelajar Terengganu

Iklan
Gambar hiasan. Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Tiada kes serangan strok haba dikesan melibatkan murid dan pelajar di Terengganu berikutan cuaca panas melanda negara setakat ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jelani Sulong berkata, bagaimanapun pihaknya sentiasa mengambil berat aspek keselamatan pelajar termasuk memberi kelonggaran kepada mereka mengenakan pakaian sukan selain menangguhkan aktiviti di luar bilik darjah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pekeliling mengenai perkara itu sudah pun diedarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri untuk diambil tindakan susulan.

"Setakat ini tidak ada kes strok haba libatkan murid dan pelajar. Kita pantau suhu cuaca panas harian yang direkodkan di Terengganu bagi mencegah berlakunya sebarang perkara tidak diingini.

Iklan

"Sebahagian kecil murid yang tidak berpuasa itu digalakkan membawa air selain mereka juga dibenarkan memakai pakaian sukan yang sopan ke sekolah.

"Segala aktiviti luar setakat ini ditangguh dahulu buat sementara sehingga keadaan cuaca mengizinkan. Kita jangka ia akan ditangguhkan hingga selepas raya nanti bergantung kepada tahap cuaca semasa," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini, KPM mengingatkan sekolah di seluruh negara supaya menangguhkan aktiviti di luar bilik darjah susulan cuaca panas bagi mengelak diserang strok haba.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, penangguhan aktiviti itu hanya bersifat sementara hingga keadaan cuaca benar-benar selamat untuk murid dan pelajar menjalankan program di luar kelas.

KPM turut memberi kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota pelaksana memakai pakaian sukan sopan ketika cuaca panas.

Mengulas lanjut, Jelani berkata, pengurusan setiap sekolah juga diingatkan agar memastikan stok bekalan air minuman sentiasa mencukupi di sekolah masing-masing untuk kegunaan murid-murid tidak berpuasa.

"Murid tidak berpuasa itu boleh membawa bekal air minuman ke sekolah untuk mengelak dehidrasi dan pastikan sumber minuman air bersih sentiasa mencukupi di sekolah," jelasnya.