KUALA LUMPUR - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyokong hasrat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang melihat kepada kemungkinan untuk memecahkan semula Kementerian Pendidikan (KPM) kepada KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, kompleksiti institusi pengajian tinggi semakin mencabar memungkinkan satu kementerian khas mengambil kira atau bertanggungjawab memastikan kemajuan dan kecemerlangan institut pengajian tinggi negara.
Beliau berkata, ia selaras dengan hasrat negara menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan dunia pada masa akan datang.
"Kita yakin dengan cadangan yang diutarakan Perdana Menteri untuk mewujudkan semula Kementerian Pengajian Tinggi, ia suatu hasrat yang murni dan kami di UPSI sentiasa memberi sokongan padu terhadap cadangan dan idea tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya melalui kementerian tersebut, universiti awam dan swasta boleh memberi tumpuan khas bersama menteri yang bertanggungjawab mencapai hasrat membawa lebih ramai pelajar antarabangsa, sekali gus dapat menyuntik dana menerusi yuran pelajar berkenaan.
Sementara itu, Mohammad Shatar turut merakamkan ucapan tahniah kepada Dr Mahathir yang memangku tugas sebagai Menteri Pendidikan sementara pelantikan menteri yang baharu.
"Tun Dr Mahathir memiliki pengalaman yang luas sebagai Perdana Menteri dan pernah menjawat jawatan Menteri Pendidikan pada suatu ketika dahulu,” katanya.
Semalam, Bernama melaporkan Dr Mahathir berkata, pihaknya sedang mengkaji untuk 'memecahkan Kementerian Pendidikan dengan Kementerian Pengajian Tinggi seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
Pada 10 Januari lepas, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata, Dr Mahathir akan memangku jawatan Menteri Pendidikan berkuat kuasa 3 Januari seperti diputuskan oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu lepas (8 Januari). - Bernama