Penceramah dipenjara buat hantaran jelik pada Agong

Iklan
Ab Malik didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, Julai tahun lalu atas dua pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong.

IPOH - Seorang penceramah bebas dikenakan hukuman penjara lima bulan dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas dua pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong menerusi kumpulan WhatsApp, dua tahun lalu.

Hakim Azizah Ahmad menjatuhi hukuman tersebut selepas tertuduh, Ab Malik Hussain, 63, menukar pengakuan kepada bersalah dalam prosiding sebutan semula kes itu.

Iklan
Iklan

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh berjalan serentak bermula tarikh ditangkap pada 23 Januari lalu.

Lelaki yang bergelar ustaz itu bagaimanapun turut berdepan hukuman tambahan penjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Iklan

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, bapa kepada dua anak itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain dalam kumpulan WhatsApp 'soal jawab tasawuf-(sufi)'.

Laporan Sinar Harian pada Julai 2023

Hantaran itu telah dilihat sekitar jam 8.30 malam di Batu 10, Kampung Pulau Padang Bota Kiri di dalam daerah Perak Tengah pada 22 November 2022.

Iklan

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Akmal Mod Said manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Khazali Yin.

Sinar Harian melaporkan Ab Malik dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ipoh pada 11 Julai 2023 atas dua pertuduhan tersebut.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin selepas membuat pengakuan tidak bersalah bagi pertuduhan tersebut.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28