BUTTERWORTH - Seorang ahli perniagaan didakwa di dua mahkamah berasingan di sini pada Rabu atas lima pertuduhan mengambil deposit haram dan menipu melibatkan wang berjumlah RM1.295 juta.
Tertuduh, R G Chandrasegaran berusia 57 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kelima-lima pertuduhan tersebut ketika dibacakan terhadapnya.
Di Mahkamah Sesyen di sini, tertuduh didakwa telah menerima wang deposit berjumlah RM820,000 daripada M Sevanasparan tanpa satu lesen yang sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.
Oleh demikian, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Teratai Indah, Seberang Perai Utara antara jam 10.33 hingga 10.44 pagi pada 28 Disember 2017.
Timbalan Pendakwa Raya, Qatrin Nada Harun menawarkan wang jaminan RM100,000 dengan syarat tambahan terhadap tertuduh.
Peguam tertuduh, R Arvend kemudiannya memohon mahkamah memberikan wang jaminan yang minimum berikutan anak guamnya menghadapi beberapa penyakit kronik selain penanggung tunggal keluarganya dengan pendapatan bulanan RM5,000.
"Anak guam saya tidak sihat kerana dia mengalami masalah tulang belakang yang serius, asma dan diabetes. Ketika ini, dia perlu bergantung dengan ubat-ubatan selain perlu menjalani pemeriksaan berkala di hospital.
"Selain itu, anak guam saya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan mempunyai alamat tetap di Batu Maung. Kehadiran dia di mahkamah pada pagi ini juga telah menjimatkan waktu mahkamah untuk bersidang.
"Tertuduh juga perlu menanggung empat anaknya berusia antara 6 hingga 27 tahun serta isteri. Oleh demikian, saya mohon mahkamah memberi jaminan yang minimum terhadapnya," katanya.
Hakim Noor Aini Yusof kemudian menetapkan jaminan RM35,000 dengan seorang penjamin berserta tiga syarat tambahan.
"Tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap 15 hari bulan setiap bulan, menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai serta dihalang untuk berjumpa atau berhubung dengan apa sekali pun dengan saksi kes," kata Noor Aini.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret 2, Chandrasegaran menghadapi empat pertuduhan menipu orang yang sama, enam tahun lalu.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan secara tidak jujur telah mendorong Sevanasparan menyerahkan wang tunai sebanyak RM180,000 kepadanya bagi menyertai pelaburan yang tidak wujud, yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdaya oleh tertuduh.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah pejabat di Jalan Raja Uda di sini pada jam 11.30 pagi, 28 Januari 2018.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa menipu lelaki sama dengan mendorong mangsa memasukkan wang tunai sebanyak RM40,000 ke dalam akaun Maybank milik tertuduh bagi menyertai pelaburan tidak wujud, yang mana, mangsa tidak akan memindahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdaya oleh tertuduh.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah bank di sini pada jam 4.06 petang, 1 Februari 2018.
Sementara untuk pertuduhan ketiga, Chandrasegaran secara tidak jujur telah mendorong Sevanasparan memasukkan wang sebanyak RM20,000 ke dalam akaun Maybank miliknya untuk menyertai pelaburan tidak wujud.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah bank di sini pada jam 10.05 pagi, 2 Februari 2018.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Bagi pertuduhan berasingan pula, tertuduh didakwa secara tidak jujur telah mendorong Sevanasparan menyerahkan wang tunai sebanyak RM235,000 kepadanya bagi menyertai pelaburan tidak wujud pada jam 10.30 pagi, 5 Mac 2018 di hadapan sebuah bank di sini.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan bagi keempat-empat pertuduhan tersebut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebatan serta denda.
Bagi pertuduhan tersebut, Nurameera menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin.
Majistret Siti Zulaikha Nordin @Ghani menetapkan jaminan RM32,000 bagi keempat-empat pertuduhan dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Siti Zulaikha juga memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga perbicaraan kes selesai.
Kes ditangguh sehingga 26 April depan untuk serahan dokumen.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28