Kelantan tiada masalah pengambilan tanah untuk ECRL ke Rantau Panjang

Iklan
Mohd Nassuruddin. Foto Bernama

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan tidak mempunyai sebarang masalah pengambilan tanah jika cadangan pelanjutan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) disambung sehingga Rantau Panjang dipersetujui Kerajaan Madani, kata Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau berkata, projek ECRL mampu memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi negara dan Kelantan akan memberi kerjasama penuh bagi tujuan itu.

Iklan
Iklan

"Kalau cadangan itu dipersetujui, dari segi pengambilan tanah kerajaan negeri tiada masalah langsung, kita akan bagi kerjasama sepenuhnya, malah Kelantan antara negeri paling cepat di Malaysia (melaksanakan) projek ECRL.

"Kita berharap perkara ini mendapat perhatian kerajaan Persekutuan memandangkan Kelantan bersempadan dengan Thailand dan projek ini akan turut dimanfaatkan mereka sekali gus akan menguntungkan negara," katanya ringkas kepada pemberita pada Program Iftar Mahabbah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri di sini pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berharap projek ECRL dapat disambung sehingga Rantau Panjang.

Baginda bertitah, ia bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi antara sempadan selain mampu mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand.

Iklan

Pada Isnin lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia, Rail Link Sdn Bhd Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, ECRL telah mencapai kemajuan sebanyak 62.40 peratus bagi keseluruhan jajaran ECRL yang merangkumi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor, setakat bulan lepas.

Projek ECRL sepanjang 665 km yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM50.27 bilion itu akan menghubungkan Kota Bharu dengan Terminal Bersepadu Gombak yang hanya mengambil masa empat jam berbanding tujuh jam dengan menggunakan jalan raya atau lebih 12 jam semasa musim perayaan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28