Shariffa Sabrina rayu jalan masuk ke kafenya di Bentong dibuka semula

Iklan
Shariffa Sabrina turut menunjukkan surat permohonan penangguhan penutupan kawasan parkir kafenya pada sidang akhbar di Kafe Tanah Aina Shah Alam yang juga dihadiri dua peguamnya termasuk Rajesh (kanan) pada Rabu.

SHAH ALAM - Pemilik Kafe Tanah Aina Fareena di Lentang, Bentong merayu kerajaan negeri Pahang supaya membuka semula dua jalan masuk ke premis itu bagi mengelakkan bisnes ekopelancongan tersebut gulung tikar.

Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, perniagaan yang dilakukan tersebut hanya untuk menaikkan nama negeri menerusi industri ekopelancongan.

Iklan
Iklan

"Saya merayu kepada kerajaan negeri, berilah peluang untuk saya teruskan perniagaan kerana ini untuk naikkan nama negeri sebab Bentong ada tarikan semula jadi sebagai lokasi tumpuan dan riadah.

"Saya bukanlah musuh, saya cuma nak cantikkan tempat (tarikan) dan saya nak bekerjasama (untuk terus promosikan kawasan pelancongan menarik di Pahang)," katanya pada sidang akhbar di Kafe Tanah Aina di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian susulan laluan masuk ke parkir Kafe Tanah Aina Fareena ditutup sepenuhnya oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada Selasa.

Media melaporkan, Kafe Tanah Aina Fareena sudah diberi notis peringatan penutupan parkir tetapi didakwa masih ingkar.

Iklan

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Ir Razali Kassim berkata, tindakan tersebut telah diambil berdasarkan keputusan Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang kerana kesalahan pemilik menggunakan tanah kerajaan sebagai parkir di restoran berkenaan.

Bagaimanapun, Shariffa Sabrina yang juga bekas Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) mendakwa, pihaknya hanya menerima notis peringatan untuk penutupan parkir itu secara lisan dan tiada sebarang notis secara bertulis diterima.

"Pihak kami telah buat permohonan rayuan penangguhan penutupan parkir itu menerusi e-mel kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang pada Jumaat lalu tetapi tiada maklum balas rasmi diterima.

"Namun disebabkan penutupan parkir, dua laluan masuk ke kafe saya ini jadi terhalang menyebabkan ada pelanggan yang telah membatalkan tempahan," dakwanya.

Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan pelanggan terpaksa meletakkan kenderaan di tepi jalan yang sempit serta terpaksa berjalan kaki kira-kira 300 meter untuk ke kafe tersebut.

Sementara itu, peguamnya, Rajesh Nagarajan mendakwa, tindakan penutupan terbabit bukan cara yang betul kerana anak guamnya tidak menerima sebarang notis awal peringatan secara bertulis daripada pihak berkaitan.

"Tidak logik jika seseorang pemilik premis atau tanah tidak boleh memasuki hartanah sendiri sekali gus seperti dinafikan hak," katanya.