KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa semua pihak berhenti memainkan isu Agama, Bangsa dan Institusi Diraja (3R) kerana ia mampu menggugat keharmonian dan ketenteraman awam di negara ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kes berkaitan 3R semakin ‘panas’, namun pihaknya tidak pernah berdiam diri melalui tindakan proaktif termasuk membuka kertas siasatan berdasarkan laporan polis dibuat.
"Selain itu, kita akan mempertingkatkan lagi maklumat dan risikan terhadap usaha-usaha yang cuba memburukkan lagi keadaan,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini, pada Rabu.
Mohd Shuhaily turut menasihatkan semua pihak agar menghentikan sentimen isu tersebut.
"Kita cukup bimbang ada perkara tidak libatkan isu perkauman tetapi apabila membabitkan dua kaum berbeza boleh jadikan pemangkin isu ini.
"Kita tidak mahu lihat ada insiden ‘Kampung Medan’, ia hanya memburukkan imej negara. Jangan melampui batas, jadi semua pihak perlu hentikan isu ini,” tegasnya.
Ketika ditanya berkaitan kejadian ugutan kilang pembekal stoking tertulis kalimah ALLAH di Batu Pahat, Johor, menurut Mohd Shuhaily, pihak polis membuka kertas siasatan dan ia masih dalam tindakan.
Pada Selasa, media melaporkan, Pengarah Eksekutif Kumpulan KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr. Chai Kee Kan dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan melukakan perasaan agama orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah ALLAH, dua minggu lalu.
Kee Kan, 57, dan Siew Mui, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.
Mengikut semua pertuduhan, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd berniat dengan sengaja melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah ALLAH di rak pameran jualan yang dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun.
Semua tertuduh didakwa pada hari yang sama turut bersubahat melakukan kesalahan itu di mana kesalahan itu dilakukan hasil daripada persubahatan mereka.
Kesalahan didakwa dilakukan di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Bandar Sunway, pada jam 6.30 pagi, 13 Mac lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 298 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga setahun, atau denda, atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28