‘Riuh Bazar Petron Gasul’ bantu lebih 300 peniaga bazar Ramadan berjimat

Iklan
Pengurus Pemasaran Petron Malaysia, Danny Chen Heng Siong (dua dari kiri) menyampaikan beg cenderahati kepada Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Perak Cawangan Kinta, Zahari Abd Murad (tiga dari kanan) yang turut menjayakan ‘Riuh Bazar Petron Gasul’ di bazar Ramadan Stadium Perak di Ipoh pada Selasa.

IPOH - Program ‘Riuh Bazar Petron Gasul’ yang dianjurkan Petron Malaysia telah berjaya meringankan beban lebih 300 peniaga bazar Ramadan di Peringgit, Melaka dan Stadium Perak di sini.

Ketua Perniagaan Komersial Petron Malaysia, Mohd Asri Ibrahim berkata, program berkenaan bertepatan dengan matlamat pihaknya untuk berkongsi rezeki dengan meringankan beban peniaga yang berhadapan peningkatan kos bahan mentah.

Iklan
Iklan

MOHD ASRI

"Petron Malaysia amat berbesar hati menjadi penaja gas memasak rasmi untuk Riuh Bazar tahun ini. Setiap peniaga bazar akan menerima dua gas memasak dan barangan lain seperti topi dan apron Petron Gasul.

Iklan

"Menerusi program itu, kami ingin dikenali sebagai rakan kolaborasi utama di bazar-bazar Ramadan sekali gus meningkatan kesedaran dan pendedahan jenama Petron Gasul," katanya di sini pada Selasa.

Mohd Asri berkata, matlamat pihaknya adalah untuk berkongsi rezeki dengan pelbagai peringkat masyarakat dan ia merupakan kesinambungan daripada program yang dimulakan sejak tahun 2022.

Iklan

Peniaga ayam goreng yang lengkap memakai topi dan apron Petrol Gasul menyusun juadah jualannya di bazar Ramadan Stadium Perak di Ipoh.

"Kami telah menyumbang sejumlah besar gas memasak, apron dan topi untuk penggunaan masjid dalam persiapan bubur lambuk yang diagihkan kepada orang ramai yang berada di sekitar Masjid Jamek, Kampung Baru.

"Inisiatif ini diteruskan pada tahun 2023 dengan penajaan gas memasak kepada lebih 200 peniaga Bazar Ramadan Desa Pandan di Kuala Lumpur," katanya.

Jelas Mohd Asri, pihaknya berharap lebih ramai peniaga bazar akan mengenali produk Petron yang sentiasa mengutamakan kualiti, keselamatan serta kemudahan pelanggan.

Tambah beliau, kolaborasi bersama Sinar Harian dijangka mampu memberikan impak yang positif kepada masyarakat setempat.

"Sepanjang dua tahun lepas, kami mendapat sokongan padu dari pihak media untuk aktiviti-aktiviti di bazar ramadan. Tambahan pula pada tahun ini, lokasi Riuh Bazar di Ipoh dan Melaka adalah amat strategik.

"Kami berharap melalui kolaborasi ini ia mampu memberikan impak positif kepada masyarakat setempat dan memberi peluang kepada Petron untuk memperluaskan sasaran kepada masyarakat di luar Lembah Klang," katanya.

Danny Chen menyampaikan beg cenderahati kepada peniaga di reruai Petrol Gasul bazar Ramadan Stadium Perak di Ipoh.

Pada program itu, Pengurus Pemasaran Petron Malaysia, Danny Chen Heng Siong telah mengedar lebih 150 beg cenderahati dan 300 kebab kepada pengunjung bazar Ramadan Stadium Perak di Ipoh.

Reruai ‘Riuh Bazar Petron Gasul’ turut dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Ahli Dewan Undangam Negeri (ADUN) Canning, Jenny Choy Tsi Jen.

Bagi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Perak Cawangan Kinta, program ‘Riuh Bazar Petron Gasul’ bersama Sinar Harian memeriahkan lagi suasana di bazar Ramadan terbesar di daerah Kinta.

Pengerusinya, Zahari Abd Murad berkata, inisiatif Petron Malaysia menyumbangkan dua tong gas Petron Gasul percuma meringankan beban kewangan buat 200 peniaga di bazar berkenaan.

"Petron juga memberi kadar istimewa buat peniaga selain menyediakan perkhidmatan penghantaran cepat yang memudahkan peniaga jika terputus bekalan.

"Terima Kasih kepada Petron dan Sinar Harian yang menguar-uarkan berita kehadiran mereka ini dan diharapkan program sebegini diperluaskan kesemua bazar Ramadan di Ipoh," katanya.

 AZABILLAH

Peniaga kuetiau goreng kerang, Azabillah Farhana Ismail, 32, berkata, inisiatif Petron Gasul menyediakan reruai memudahkah peniaga tambahan mereka menerima dua tong gas secara percuma.

"Sebelum ini, kami pernah berasa kelam kabut apabila bekalan gas memasak terputus ketika masak menu mi goreng, bihun goreng dan lain-lain dengan pelanggan mula berkerumun pada waktu puncak.

"Tetapi kali ini kami berasa lega apabila Petron Gasul menyediakan reruai tong gas, hanya satu panggilan beberapa minit tong gas sudah sampai," katanya.

Sudah 12 tahun berniaga di bazar Ramadan, Azabillah Farhana berkata, tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan Petron perlu diteruskan setiap tahun kerana memudahkan peniaga-peniaga.

MUHAMMAD YUSOFF

Peniaga pizza, Muhammad Yusoff Abdul Ghafar, 29, berkata, Petron Gasul banyak membantu peniaga dengan membekalkan tong gas memasak dengan pantas.

"Kami ketahui perkhidmatan yang disediakan Petron di bazar Ramadan di Perak menerusi Facebook. Sumbangan dua tong gas memasak ini meringankan beban yang ditanggung.

"Berbanding jenama lain, saya dapat merasakan penggunaan gas memasak tahan lama dan sesuai dengan perniagaan saya yang membakar pizza tambahan perkhidmatan pantas yang sediakan," katanya.

Kolaborasi Petron Malaysia dan Sinar Harian pada Program ‘Riuh Bazar Petron Gasul' mampu memberikan impak yang positif kepada masyarakat setempat. Foto: Muhammad Syarin Khairi.