PUTRAJAYA - Gerai yang menjual martabak mengandungi perca kain dikompaun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana kecuaian pengendalian makanan.
KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan yang dijalankan oleh Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) mendapati kecuaian berkenaan telah menyebabkan kehadiran cebisan kain pengelap dalam martabak tersebut.
"Beberapa kesalahan lain yang dikenal pasti telah dilakukan oleh pemilik gerai termasuk tidak membuat pengasingan yang jelas untuk bahan mentah dan makanan yang telah dimasak, menggunakan kain pengelap yang tidak bersih serta pengendali makanan tidak memakai pakaian pelindung diri dengan sempurna," kata kenyataan itu pada Rabu.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pengguna media sosial, Yuhaiza Hamid memuat naik hantaran menemui cebisan kain di dalam martabak yang dibeli di salah sebuah gerai dj Bazar Ramadan Desa Pandan, Kuala Lumpur.
Menurut wanita berkenaan, kain buruk tersebut bukan sahaja membantutkan keinginan untuk menjamah makanan itu malah membuatkan mereka sekeluarga berasa loya dan muntah.
Dalam pada itu, KKM mengingatkan kepada semua peniaga premis makanan termasuk di bazar Ramadan untuk mempertingkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan bagi mengelakkan sebarang pencemaran silang dan kehadiran bendasing dalam makanan yang dijual.
Menurut kenyataan itu, cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini juga boleh menyebabkan pembiakan bakteria yang lebih pantas dan menyebabkan makanan cepat basi daripada kebiasaan.
"Orang ramai dinasihatkan untuk mengutamakan keselamatan makanan sepanjang Ramadan ini dalam memilih apa sahaja juadah berbuka, sebelum membeli perhati dan pilih serta amalkan Lihat Hidu Rasa kerana ia langkah paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28