Pengarah restoran mamak didenda RM15,000 miliki barang kawalan lebih kuantiti

Iklan
Gambar hiasan.

MELAKA - Seorang pengarah syarikat rangkaian restoran mamak bergelar Datuk didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah memiliki barang berjadual melebihi kuantiti dibenarkan.

Hakim Azaraorni Abd Rahman memutuskan hukuman tersebut terhadap Fadzil A Bakar, 66, dan turut mengarahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Fadzil didapati ada dalam milikannya barang berjadual iaitu 267 unit minyak masak peket 1 kilogram (kg), 253 unit gula pasir kasar 1 kg dan 48 unit gula pasir kasar (gula jernih) 1 kg di premis perniagaan RB Bistro cawangan Jelatang di Pusat Perniagaan Jelatang dalam daerah Alor Gajah, sekitar 11.45 pagi pada 12 Disember 2023.

Kesalahan di bawah Peraturan 18 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu dalam perjalanan perniagaan, menggunakan barang berjadual melebihi kuantiti sepertimana dinyatakan dalam Bahagian IV Jadual dan didakwa di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama.

Iklan

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Maligaa Radhakrishnan yang mewakili Fadzil merayu hukuman berbentuk denda memandangkan tertuduh mempunyai penyakit jantung selain merupakan kesalahan pertama.

Iklan

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Suhana Mohd memohon hukuman setimpal kerana mengambil kira faktor kepentingan awam serta mencegah peniaga menyorokkan atau enggan menjual barangan kawalan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28