CANBERRA - Usaha sebuah organisasi Animal Rescue Collective Craft Guild (ARCCG) yang menyokong usaha menyelamat haiwan di seluruh Australia ternyata mendapat sambutan ramai.
Organisasi yang berpusat di Brisbane itu menarik penyertaan penduduk dengan tampil kreatif melalui kraftangan kantung untuk haiwan yang terselamat dalam kebakaran hutan di Australia.
Kantung itu bagi memberi keselesaan kepada haiwan seperti kanggaru, koala, wombat dan walabi.
Pelbagai usaha dilakukan oleh masyarakat untuk membantu mencari dana menyelamatkan haiwan tersebut termasuk melalui kraftangan.
ARTIKEL BERKAITAN: Setengah bilion haiwan jadi korban kebakaran di Australia
Halaman Facebook ARCCG dipenuhi pelayar dari seluruh dunia yang ingin menghulurkan bantuan.
Antaranya, Patti Kurosky Rowray dan Viv Trang yang mula membuat kantung untuk disalurkan kepada organisasi tersebut.
Bukan itu sahaja, ARCCG menggalakkan sukarelawan menyertai organisasi mereka dan meminta orang ramai menderma barangan keperluan lain seperti selimut, air minuman termasuk ubat-ubatan bagi menyelamatkan haiwan berkenaan.
Australia berdepan masalah kebakaran hutan, yang dianggap terburuk sejak beberapa dekad, sejak Julai lalu.
Tragedi itu bukan sahaja meragut nyawa 27 penduduk, namun turut mengorbankan 500 juta hidupan liar negara itu.
Di New South Wales sahaja, lebih 2,000 kediaman musnah atau rosak dijilat api dan pihak berkuasa sehingga kini masih berusaha untuk memadam serta mengawal kebakaran.