Terengganu anjur solat hajat tuntut hak royalti

Iklan
Muhammad Khalil (tengah) ketika sidang akhbar

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Terengganu akan menganjurkan program Munajat Rakyat Terengganu Kembalikan Royalti dalam usaha menuntut tunggakan pembayaran penuh wang royalti minyak negeri itu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, dekat sini pada 6 April depan.

Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program dianjurkan itu antara antara ikhtiar kerajaan negeri bagi memastikan urusan perundingan penyaluran royalti dipermudahkan.

Iklan
Iklan

"Anjuran solat hajat ini merupakan salah satu jalan untuk berdoa supaya ALLAH SWT membuka hati mereka yang terlibat bagi memastikan urusan perundingan penyaluran royalti dipermudahkan.

"Kita melihat polemik bayaran royalti petroleum masih berterusan dan belum menampakkan jalan penyelesaian terbaik. Jadi saya ajak seluruh rakyat di Terengganu untuk sama-sama berdoa bagi memudahkan urusan royalti ini dapat dikembalikan pada Terengganu.

Iklan

"Semoga usaha yang dibuat ini membuahkan hasil buat seluruh rakyat Terengganu apatah lagi dilakukan pada malam 27 Ramadan dan hanya kepada ALLAH SWT kita berserah (urusan royalti dipermudahkan)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyuarakan isu tunggakan royalti petroleum ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam sidang Parlimen pada 5 Mac lalu.

Ahli Parlimen Kemaman itu berkata, wang royalti atau disebut oleh Kerajaan Persekutuan sebagai Wang Ehsan dan Dana Khas yang diterima sejak sekian lama itu diharap dapat diteruskan tanpa sebarang kelewatan untuk manfaat 1.2 juta rakyat Terengganu.

Pada 21 Mac lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan peruntukan Persekutuan yang disalurkan kepada Terengganu sebenarnya lebih tinggi di bawah Kerajaan Madani berbanding kerajaan terdahulu yang dibentuk gabungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Anwar menegaskan tidak wujud istilah bahawa kerajaan pimpinannya bersifat zalim terhadap Terengganu memandangkan kerajaan telah melunaskan pemberian wang ihsan berdasarkan hasil petroleum 2023, iaitu sebanyak RM786 juta.

Mengulas lanjut, Muhammad Khalil program itu akan dimulakan dengan majlis berbuka puasa dan kemudian solat tarawih serta solat hajat berjemaah.

Selain itu, katanya ucapan daripada beberapa pemimpin tertinggi parti dan kerajaan negeri turut diadakan.

"Insya-ALLAH, pemimpin negeri terlibat antaranya Menteri Besar (Ahmad Samsuri) yang akan mengetuai (ucapan pemimpin).

"Jadi kita mahu tarik seramai mungkin penyertaan rakyat dari seluruh negeri untuk jayakan program ini untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan Terengganu," ujarnya.

Dalam pada itu, Muhammad Khalil berkata, jawapan yang dituntut tentang sekatan terhadap pemulangan hasil minyak kepada rakyat Terengganu masih samar.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula masih gagal memberi jawapan tuntas mengenai baki royalti 2023 dan bayaran hasil petroleum untuk tahun 2024.

"Keadaan ini menyebabkan perancangan kerajaan negeri sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2023 dan 2024 terbantut dan tergendala.

"Akibatnya rakyat menjadi mangsa selain siri bantuan dan inisiatif daripada kerajaan negeri yang sepatutnya mereka terima, tidak berjaya dilaksanakan," jelasnya.

Beliau menambah rakyat telah mendesak agar kerajaan negeri melakukan pelbagai tindakan bagi membolehkan wang royalti kembali ke bumi Terengganu.

"Di sebalik semua ini, kerajaan negeri percaya 'masih ada cahaya di hujung terowong'.

"Kami tidak berputus asa sebaliknya akan terus menggandakan usaha melalui pelbagai saluran mengikut lunas undang-undang bagi memastikan royalti petroleum ini dipulangkan kepada rakyat dan negeri Terengganu," jelasnya.