SHAH ALAM - Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) mengambil pendekatan untuk menyemarakkan pembacaan al-Quran dengan melibatkan semua kakitangan memulakan waktu bekerja dengan membaca kitab suci.
Pengarahnya, Datin Paduka Mastura Muhamad berkata, sempena Ramadan tahun ini, PPAS memulakan majlis bacaan pada jam 8.30 pagi hingga 8.45 pagi dengan membaca surah al-Fatihah, surah al-Baqarah ayat satu hingga lima dan hadis.
Menurutnya, sesi itu merupakan salah satu cara dakwah untuk menggalakkan semua kakitangan terutamanya golongan muda untuk terus mendampingi al-Quran.
"Di peringkat PPAS, pihak kami akan meneruskan sesi #Qurantime pada setiap pagi iaitu selama 15 minit sahaja.
"Walaupun singkat, apa yang ingin kami sampaikan adalah ia dilaksanakan secara berterusan. Ini lebih baik daripada amalan yang banyak namun cuma dilakukan sekali sahaja.
"Daripada amalan yang sedikit ini, percayalah ia akan memudahkan untuk melakukan amalan-amalan lain, seperti berzikir, mendekatkan diri pada ALLAH SWT, ikhlas dalam beramal dan Insya-ALLAH semua amalan diterima oleh ALLAH,” katanya ketika sesi wawancara eksklusif bersama Sinar Harian pada Selasa.
Dalam pada itu, Mastura memaklumkan bahawa World #QuranHour memberi impak positif kepada seluruh kakitangan kerana ia mengajak untuk menghayati dan mengamalkan isi kandungan al-Quran.
"Program ini menggalakkan interaksi dengan al-Quran untuk kita baca, faham dan amal. Ia merupakan usaha bagi menggarap nilai mulia yang dihayati daripada surah di dalam al-Quran.
"Ini kerana ia membentuk cara hidup yang membawa kepada matlamat melahirkan legasi akhlak yang berbudi bahasa, penyayang dan penuh empati,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai penglibatan PPAS dalam program World #QuranHour 2024, Mastura berkata, pihaknya akan menghebahkan sepenuhnya kempen berkenaan kepada seluruh masyarakat melalui media sosial di bawah perbadanan.
Jelasnya, PPAS akan menyediakan bahan kempen seperti poster supaya lebih ramai orang dapat berkongsi mengenainya.
Tambah Mastura, bentuk kempen juga boleh diadakan dalam bentuk video bersama pengunjung di Pustaka Raja Tun Uda dan dikaitkan dengan Surah Al-Jumu’ah yang menjadi surah pilihan World #QuranHour 2024.
"PPAS akan bekerjasama dengan pihak sekolah melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Selangor.
"Kami akan memohon daripada semua jabatan agar terlibat sama pada 4 April nanti, Insya-ALLAH. Di peringkat sekolah, kami akan kongsi kesedaran kepentingan terlibat sama dalam program ini,” ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28