850 petugas HATTM terima pek makanan berbuka puasa

Iklan
Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seramai 850 petugas Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) menerima sumbangan pek makanan untuk berbuka puasa menerusi Kempen Mahabbah Kasih pada Selasa.

Tanggung Tugas Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Mohammad Ashraf Md Radzi berkata, kempen yang dilancarkan bersempena Ramadan itu bertujuan menyantuni serta mengiktiraf jasa warga HATTM yang juga sebahagian besarnya terdiri daripada pencarum.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kempen tersebut juga dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepelbagaian fungsi, peranan, tugas dan kepakaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui kor atau rejimen yang berbeza-beza.

"Ia termasuklah dari segi perkhidmatan perubatan dan kesihatan yang turut memberi manfaat kepada masyarakat awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Serahan sumbangan berkenaan disampaikan oleh Mohammad Ashraf kepada Ketua Jabatan Makmal Patologi Perubatan HATTM, Brigedier Jeneral Dr Ahmad Zakuan Kamaruddin bagi mewakili Pegawai Memerintah HATTM, Brigedier Jeneral Datuk Dr Mohamad Hatta Manis.

Mengulas lanjut, Mohammad Ashraf berkata, Program Agihan Bubur Lambuk juga adalah salah satu program di bawah kempen tersebut yang akan diadakan di Masjid Khalid Al-Walid, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Iklan

"Program ini akan menyaksikan pasukan sukarelawan Jalinan Wira LTAT yang terdiri daripada kakitangan LTAT dengan kerjasama Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dan Yayasan LTAT dalam menyediakan serta mengagihkan 1,400 pek bubur lambuk kepada warga ATM dan orang awam yang akan hadir ke masjid.

"Julung kalinya LTAT menganjurkan program seperti ini bagi memberi fokus terhadap sumbangan secara langsung kepada warga ATM. Usaha kecil ini dilakukan bagi mengiktiraf jasa pencarum LTAT yang bertugas tanpa mengenal penat lelah termasuklah pada bulan Ramadan.

"Bagi memberi nilai tambah kepada anggota dan veteran ATM, pembekal bagi barangan seperti kurma dan kuih raya sepanjang bulan Ramadan diperolehi secara eksklusif daripada Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) dan veteran ATM.

"Inilah keunikan yang cuba kami sampaikan di LTAT pada tahun ini, bagi memperkasakan wira ATM. Moto Demi Wira Kami adalah asas kepada perjalanan LTAT dalam memastikan kebajikan wira ATM terpelihara secara holistik,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28