PHNOM PENH - Tahap air di Sungai Mekong yang mengalir melalui China dan lima negara lain sebelum sampai ke Laut China Selatan menyaksikan penurunan sekali lagi.
Ia berlaku selepas Beijing melakukan ujian peralatan di salah satu daripada 11 empangan di bahagian atas laluan air penting.
Suruhanjaya Sungai Mekong (MRC), sebuah badan antara kerajaan yang terdiri daripada wakil dari Laos, Kemboja, Thailand dan Vietnam pada 31 Disember lalu memberitahu, China akan menguji peralatannya dan memberi amaran tentang potensi penurunan 50 peratus aliran keluar air.
Menurut ramalan MRC, paras air boleh jatuh sebanyak 70sm di Thailand antara 6 dan 10 Januari dan naik sehingga 25sm di Kemboja antara 12 dan 14 Januari.
Di Thailand, kekurangan air telah menyebabkan akibat yang teruk apabila air di Mekong meningkat dan menurun secara mendadak dalam beberapa hari.
"Petani di Chiang Kong di utara Thailand yang bersempadan dengan Laos kehilangan tanaman mereka kerana turun naik air tidak bermusim pada minggu pertama tahun ini," kata penyelaras kempen Thailand untuk sungai antarabangsa, Pianporn Deetes.
Bukan hanya tanaman, turun naik air turut menyebabkan hakisan sungai yang teruk.
Perikanan, pertanian terjejas
Sungai Mekong merupakan sungai ke-12 terpanjang di dunia, yang membentang sepanjang 4,350km dari utara China ke selatan Vietnam.
Pengarah program Stimson Center Asia Tenggara, Brian Eyler berkata, turun naik air secara mendadak mengelirukan pergerakan ikan semula jadi di dalam sungai yang membawa kepada kejatuhan stok ikan.
"Untuk memiliki sungai yang sihat, perlu aliran biasa dan bukan dengan peningkatan tidak wajar secara mengejut.
"Ia boleh menjejaskan stok ikan di Segi Tiga Emas yang merupakan pertemuan Thailand, Laos dan Myanmar. Secara tradisinya, nelayan di kawasan itu memancing untuk mencari nafkah," katanya.
Menurutnya lagi, apabila Empangan Jinghong, salah satu empangan terbesar di China melepaskan air semasa musim kemarau, penduduk tempatan yang menjalankan pertanian tepi sungai mengalami kerugian apabila tanaman mereka musnah dinaiki air.
"Jika mereka menyimpan peralatan atau ternakan di sepanjang tebing sungai, ia akan musnah akibat pelepasan air secara tuba-tiba. Jutaan dolar kerugian dicatat dan ia memburukkan lagi keadaan petani luar bandar yang sememangnya kurang berkemampuan," katanya. - Agensi