SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melakukan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang trafik serta keselamatan jalan raya di Persiaran Pulau Lumut, Seksyen U10 dekat sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi berkata, penyelesaian jangka pendek itu diputuskan dalam pertemuan yang diatur antara wakil persatuan penduduk serta agensi terlibat susulan isu lambakan lori tanah menggunakan jalan terbabit sejak lima bulan lalu.
Menurutnya, agensi terlibat dalam perbincangan tersebut ialah PDRM, JPJ, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Petaling dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang diadakan pada Selasa.
"Pelbagai pandangan telah dibentangkan sepanjang pertemuan ini dan sebarang tindakan penguatkuasaan perlu mengambil kira aspek perundangan serta peraturan-peraturan yang melibatkan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan iaitu MBSA dan pihak PTD Petaling," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sinar Harian pada 16 Mac lalu melaporkan keresahan penduduk apabila Persiaran Pulau Lumut di kawasan perumahan Taman Alam Budiman, Seksyen U10 Shah Alam dilalui lori-lori tanah sejak lima bulan lalu.
Penduduk mendakwa kenderaan berat itu beroperasi tanpa mengira waktu termasuk cuti umum serta hujung minggu hingga mengundang isu keselamatan penduduk selain masalah debu.
Penduduk turut memberitahu, lori terbabit menjadikan jalan perumahan penduduk sebagai jalan pintas ke Setia Alam susulan dua projek pembangunan di kawasan berhampiran.
Mengulas lanjut, Mohd Najwan berkata, satu pertemuan bersama wakil syarikat atau operator lori-lori tanah terbabit akan dilakukan dalam masa terdekat.
Ujarnya, pertemuan tersebut akan dilibatkan bersama wakil persatuan penduduk, agensi penguatkuasaan, MBSA, PTG Negeri Selangor dan PTD Petaling bagi mencari kaedah terbaik menangani isu tersebut secara tuntas.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!