Teruja suasana lebih meriah

Iklan
Orang ramai mengunjungi Iftar Ala Madinah@Karangkraf 2024 di Dataran Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam pada Selasa.

SHAH ALAM - Rindu dan teruja dengan suasana berbuka yang lebih meriah dan menunaikan solat tarawih secara berjemaah merupakan antara sebab pengunjung kerap datang ke Iftar Ala Madinah@Karangkraf 2024 di Dataran Karangkraf, Seksyen 15 di sini pada Khamis.

Rata-rata pengunjung mengakui acara berkenaan menyediakan tempat luas dan selesa, selain turut mempertimbangkan kemudahan menunaikan solat terawih kepada pengunjung selepas selesai berbuka.

Iklan
Iklan

Pesara swasta, Zainal Abidin Jailani, 63 berkata, penganjuran program itu amat bermakna bagi mereka yang berkeluarga kerana suasananya yang meriah dan lebih terbuka berbanding di rumah.

"Sehingga hari ini, saya datang ke sini kerana saya terkenang 2014, 2015 suasana yang (meriah) begini, lama kita tidak berjumpa ditambah lagi dengan PKP.

Iklan

"Alhamdulillah, terima kasih kepada pengurusan Kumpulan Karangkraf kerana memberi ruang dan peluang kepada masyarakat untuk menyertai acara sebegini,” katanya ketika kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pengunjung mendengar sesi tazkirah sebelum berbuka puasa.

Kerani swasta, Mohd Ishsam Ismail, 49, pula berkata, acara itu merupakan kesempatan terbaik untuk beriadah sambil berbuka, selain merapatkan hubungan silaturahim.

Iklan

"Apa yang saya nampak dari segi keunikan itu, salah satunya kita dapat berbuka puasa beramai-ramai dan kita juga boleh menunaikan solat berjemaah bersama-sama.

"Jadi di situ ada keselesaan sedikit sebab kalau di rumah kita sudah terbiasa dengan aktiviti rumah, berbeza dengan program ini, kita dapat jumpa pelbagai jenis orang. Pendek kata, ini seperti beriadah,” ujarnya.

Peniaga, Muhammad Nadzarudin Mohd Rafdzi, 36, memberitahu, dia dan ahli keluarganya tidak jemu untuk hadir ke Iftar Ala Madinah@Karangkraf, meskipun sudah dua minggu berkunjung ke program itu.

"Senang untuk kami sekeluarga makan di sini dan makanan semuanya sedap-sedap. Anak-anak pun suka.

"Program ini memang sangat menjimatkan kos dan masa kerana kadang-kala kita tidak sempat masak,” ujarnya.

Orang ramai menunggu masa untuk berbuka di Dataran Karangkraf, Seksyen 15.

Sementara itu, mahasiswi institut pengajian awam (IPTA), Izzah Basirah Khan Ramzani Khan, 21 berkata, meskipun baru pertama kali mengunjungi Iftar Ala Madinah@ Karangkraf, namun program tersebut memberikan pengalaman baharu kepada generasi muda untuk merasai kemeriahan berbuka bersama pelbagai lapisan masyarakat.

"Memang suasana di sini lebih meriah, saya juga rasa macam teruja kerana tak pernah lihat kunjungan seramai ini.

"Sini memang sangat menjimatkan kerana kalau pergi membeli di bazar Ramadan, sudah tentu akan habis RM20 atau lebih dalam sehari,” menurutnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!