SOLAT berjemaah terutama di masjid sangatlah digalakkan kerana mendapat ganjaran yang lebih besar berbanding solat sendirian di rumah. Ketika solat berjemaah, ramai yang berebut-rebut nak dapatkan tempat di saf pertama di belakang imam.
Namun, baru-baru ini ada kisah hangat yang menimbulkan perbahasan netizen di media sosial. Selepas tular isu jemaah wanita enggan merapatkan saf, lompong sana-sini, heboh pula kali ini dengan kisah cop saf pertama oleh seorang lelaki warga emas.
Iklan
Iklan
Dia beri special memo, menitipkan pesanan kepada jemaah dari luar kariah yang nak solat tarawih supaya hormat budaya di masjid kariah tersebut. Mudah kata, jangan buat macam masjid sendiri bila masuk masjid orang lain.Hormat ‘tuan rumah’. Jangan sesuka hati katanya nak ambil saf yang kosong terutama di barisan paling depan kerana ia sudah ada ‘tuannya’.
Aduhai! Masih ada mentaliti sebegini lagi pada zaman sekarang? Mana dalil yang membezakan ahli kariah dan orang singgah? Boleh bayangkan tak perasaan orang yang datang awal ke masjid dan sudah duduk di depan disuruh pindah ke belakang dengan alasan tempat itu dah ada yang punya?
Bagi Merak Jalanan, individu yang suka cop saf solat ini memang ada masalah hati agaknya. Masalah pada dirinya sendiri. Suka-suka cop tempat solat, macam juga geng suka cop parkir di kawasan perumahan atau di pasar raya.
Masjid rumah ALLAH, hak seluruh umat Islam, bukan milik individu tertentu, bukan milik VIP. Kerana nila setitik, yang lain pun terpalit sama. Kerana sikap beginilah yang menyebabkan segelintir jemaah malas nak ke masjid untuk hadap ‘perangai bukan-bukan’.
Tapi Merak Jalanan harap tak semua yang berperangai seperti warga emas tersebut. Tiada istilah jemaah sebagai pendatang dan orang dagang. Siapa datang awal, dialah dapat saf pertama. Mudahkan?