KUALA LUMPUR - Dua warga asing yang mengahwini rakyat tempatan dan menjadi dalang sindiket pekerja asing terbongkar selepas dicekup di Jalan Duta, di sini, pada Rabu.
Tangkapan kira-kira jam 1.30 petang dibuat sepasukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil risikan selama dua minggu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, suspek utama ialah lelaki warga Myanmar dan lelaki warga Bangladesh berusia antara 50 dan 52 tahun yang disyaki sebagai dalang utama.
Menurutnya, semakan awal mendapati suspek warga Myanmar adalah berstatus Pemastautin Tetap (PR), manakala suspek warga Bangladesh memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi sektor perkhidmatan yang masih sah laku.
"Pasukan operasi telah merampas wang tunai sebanyak RM91,550.00, 12 naskhah pasport Bangladesh, senaskhah pasport Indonesia, dokumen syarikat, dokumen permohonan program Rekablirasi Tenaga Kerja (RTK) dan tiga unit telefon bimbit.
"Modus operandi sindiket adalah menjalankan aktiviti sebagai ejen pekerja asing bagi program RTK 2.0 dengan menyasarkan warganegara sumber seperti Bangladesh dan Indonesia," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kedua-dua suspek yang telah mengahwini warga Malaysia menawarkan perkhidmatan seperti urusan pendaftaran permohonan program RTK 2.0 di pejabat imigresen dan dipercayai telah menjalankan operasi selama satu tahun.
Tambahnya, bayaran yang dikenakan bagi setiap pekerja asing ini di antara RM1,500 hingga RM2,000.
"Kedua-dua suspek ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963," ujarnya.
Tegasnya, jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!