Ireland mahu 'campur tangan' kes genosid Israel di ICJ

Iklan
Pengumuman berkenaan dibuat Menteri Luar, Micheal Martin pada Rabu yang mengesahkan keputusan itu dibuat selepas rundingan bersama Pretoria. - Foto: Agensi

DUBLIN - Ireland memaklumkan ia akan 'campur tangan' dalam kes genosid yang dikemukakan Afrika Selatan di Mahkamah Kehakiman Antarabangsa (ICJ) terhadap rejim Zionis.

Pengumuman berkenaan dibuat Menteri Luar, Micheal Martin pada Rabu yang mengesahkan keputusan itu dibuat selepas menganalisis isu dasar dan undang-undang berkaitan kes tersebut serta rundingan bersama Pretoria.

Iklan
Iklan

"Proses tersebut sudah selesai dan Dublin akan mengambil langkah seterusnya,” lapor portal TheJournal.ie memetik kenyataan Martin.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bentuk campur tangan tersebut atau sebarang hujah baharu yang akan dikemukakan mereka di ICJ.

Iklan

"Saya mahu mengulangi semula kenyataan sejak beberapa bulan lalu, apa yang kita saksikan di Gaza sekarang membuktikan pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa pada skala yang besar,” tegasnya.

Beliau turut merujuk kepada sekatan bantuan kemanusiaan, serangan yang menyasarkan orang awam dan infrastruktur di Genting Gaza serta penggunaan senjata membunuh di kawasan penempatan penduduk dan hukuman kolektif ke atas seluruh populasi di wilayah terkepung itu.

Iklan

"Senarai kezaliman itu semakin bertambah dari hari ke hari. Ia perlu dihentikan segera. Pandangan komuniti antarabangsa sudah jelas. Sudah cukup kekejaman sejak lebih lima bulan lalu,” jelasnya lagi.

Pada akhir Disember lalu, Afrika Selatan memfailkan tuntutan undang-undang ke atas Israel di tribunal berpusat di The Hague tersebut, kira-kira tiga bulan selepas kempen pengeboman ganas dilancarkan ke atas Gaza.

Pretoria turut menegaskan rejim Tel Aviv gagal untuk mematuhi komitmen di bawah Konvensyen Geneva 1948.

Menerusi keputusan interim pada 26 Januari lalu, ICJ gagal mengarahkan pelaksanaan gencatan senjata dan hanya mengumumkan langkah sementara termasuk menggesa Israel supaya menghentikan tindakan yang boleh membawa kepada genosid dan membenarkan akses bantuan kemanusiaan ke Gaza. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!