SHAH ALAM - Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung membuat enam laporan setelah menerima ugutan bunuh, pukul dan fitnah melibatkan dirinya serta keluarga di Balai Polis Wangsa Maju pada Rabu.
Firdaus ketika dihubungi Sinar Harian berkata, ia adalah permulaan sebelum tindakan saman dilakukan dan tidak menolak kemungkinan lebih banyak laporan akan dibuat ke atas pemfitnahnya.
"Ugutan bunuh dan pukul ini dilakukan oleh individu yang tidak dikenali. Memandangkan ia melibatkan keselamatan saya keluarga, laporan terpaksa dibuat.
"Daripada enam laporan yang dilakukan, satu melibatkan ugutan bunuh, satu pukul manakala selebihnya kes fitnah. Kesemua laporan itu di bawah tindakan Balai Polis Dang Wangi, Balai Polis Wangsa Maju dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan,” katanya pada Khamis.
Ditanya punca ugutan itu dibuat, pendakwah terkenal berkenaan mengakui ia banyak diterima selepas pembongkaran isu stoking kalimah ALLAH dan percaya, ada yang tidak berpuas hati dengan kerja-kerja dakwah dilakukannya.
Malah katanya, ada yang membangkitkan isu songlap duit badan bukan kerajaan (NGO), sedangkan laporan polis dan tindakan saman telah dilakukan kepada pemfitnah pada tahun 2022.
"Saya tidak tahu siapa dan kenapa mereka berbuat sedemikian. Ada yang kata saya sengaja nak sabotaj, sedangkan KK Mart saman pembekal stoking bukannya saya.
"Kenapa heret saya dalam isu ini sehingga membuat ugutan dan melibatkan nyawa. Saya percaya, mereka ini tidak berpuas hati terhadap kerja-kerja dakwah yang dilakukan selama ini,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima dua laporan polis oleh Firdaus Wong pada Rabu.
"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju ada terima dua laporan polis oleh beliau (Firdaus Wong) dan kertas siasatan telah dibuka bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Pengadu (Firdaus Wong) telah hadir beri keterangan dan siasatan kes ini masih dijalankan," ujarnya.
Pada 13 Mac, Firdaus dikatakan memuat naik di akaun Facebooknya gambar stoking berkenaan yang dijual di KK Super Mart Bandar Sunway, sekali gus mencetuskan kemarahan umat Islam di Malaysia yang baharu sahaja menyambut Ramadan.
Ahli Jawatankuasa DAP Pahang, Chiong Yoke Kong pada 25 Mac lalu pula dilaporkan berkata, isu jualan stoking bertulis kalimah ALLAH boleh diselesaikan dengan cara baik namun mendakwa Firdaus sebaliknya menularkannya di media sosial.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!