KUALA TERENGGANU - Sebanyak 350 kampit beras percuma yang disumbangkan oleh sebuah kedai runcit di sini habis dalam tempoh tidak sampai 10 minit.
Pengurus Gemilang Speed Mart, Siti Fatimah Mohamed Farook berkata, walaupun waktu agihan beras tersebut bermula jam 2 petang, orang ramai telah menyerbu kedai berkenaan seawal jam 12.30 tengah hari.
Katanya, pada peringkat awal mereka hanya menyediakan 300 kampit beras jati seberat 5 kilogram (kg) yang setiap satunya berharga RM21.50, namun disebabkan sambutan di luar jangkaan mereka menambah 50 kampit lagi beras tersebut.
"Sambutan diterima hari ini amat menggalakkan cuma kita tak tahu sama ada mereka yang ambil beras percuma itu dalam kalangan golongan memerlukan atau tidak.
"Mengikut perancangan asal kami adik beradik mahu fokus beri beras percuma kepada golongan memerlukan dengan satu kampit untuk satu keluarga namun disebabkan terlalu ramai yang datang kita tak fokus kepada setiap penerima.
"Disebabkan sambutan luar biasa ini ada beberapa pelanggan yang telah beratur daripada jam 1.30 tengah hari tak dapat beras dan kita terpaksa tambah stok sekitar 20 kampit beras lagi untuk mereka," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Khamis.
Jelas Siti Fatimah, dia agak kesal kerana terdapat pelanggan yang tidak sempat mendapatkan beras tersebut.
"Kita perhatikan ada juga penerima daripada keluarga yang sama beratur untuk mendapatkan beras, kita kesal kerana bimbang mereka yang layak pula tak dapat disebabkan kehabisan stok beras percuma
"Akan datang saya harap kita semua dapat sama-sama berinfak untuk berkongsi rezeki agar lebih ramai kumpulan sasar dapat dibantu," katanya yang telah kali kedua melakukan infak beras percuma selepas kali pertama pada 2023.
Sementara itu, seorang ibu tunggal Maziana Embong, 55, berkata, dia datang dari Kampung Gelugur Raja, Wakaf Mempelam semata-mata untuk mendapatkan beras percuma itu.
"Saya masih menanggung beberapa orang anak yang masih bersekolah jadi beras di rumah sentiasa tak cukup.
"Bila dengar Gemilang Speed Mart beri beras percuma saya terus datang ke sini dengan harapan boleh bawa balik sekampit beras untuk anak-anak.
"Saya dah sampai awal jam 1.30 tengah hari namun disebabkan terpaksa beratur panjang bila tiba giliran saya beras sudah habis. Mungkin tiada rezeki saya kali ini, tapi kalau masih ada lagi beras yang dapat diberikan saya amat bersyukur," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!