MERSING - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing menahan 11 lelaki warga asing kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah dalam Op Jaksa, Op Tiris dan Op Khas Pagar Laut di perairan Mersing pada lewat malam Rabu.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, kesemua suspek melibatkan tiga warga Indonesia, enam (Laos) dan dua warga Kemboja berusia dalam lingkungan 22 hingga 43 tahun itu ditahan setelah ujian air kencing mendapati kesemuanya positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
"Kesemua suspek ditahan pada jam 11.35 malam dan siasatan mendapati kesemua lelaki warga asing itu merupakan kru dari tiga bot nelayan tempatan yang diperiksa sebelum itu.
"Sebelum itu, sebanyak 20 bot nelayan tempatan telah diperiksa dan seramai 45 kru bot nelayan telah menjalani ujian saringan air kencing.
"Kesemua mereka kemudiannya telah dibawa ke Zon Maritim Mersing untuk tindakan siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, Suhaizan menegaskan operasi seumpamanya akan terus dilaksanakan dari masa ke masa bagi mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Orang ramai juga boleh memberikan kerjasama dengan melaporkan sebarang aktiviti jenayah dan salah laku yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199404.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!