Yadim buat laporan polis terhadap Ganesparan

Iklan
Hasanuddin (dua dari kiri) dan Ammar menunjukkan salinan laporan yang dibuat terhadap Ganesparan di Balai Polis Tampoi, Johor Bahru pada Khamis.

JOHOR BAHRU - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) pada Khamis membuat laporan polis terhadap seorang pemilik Facebook, Ganesparan Nadaraja yang memuat naik video menghina Islam baru-baru ini.

Laporan polis tersebut dibuat Pengarah Yadim Johor, Muhamad Ammar Abdullah ditemani Yang di-Pertua Yadim, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus dan 10 ahli yayasan tersebut di Balai Polis Tampoi di sini pada jam 2.34 petang.

Iklan
Iklan

Menurut Hasanuddin, laporan yang bertujuan menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap Ganesparan itu juga akan dibuat di 12 cawangan Yadim di seluruh negara.

"Saya melihat bukan hanya penghinaan pada sultan itu tidak wajar tetapi juga kepada perkataan-perkataan yang tidak senonoh yang ditujukan kepada beberapa orang lain dan juga maki hamun, itu bukan ciri-ciri rakyat Malaysia sebenarnya.

Iklan

"Kita tahu barang kali dia rakyat Malaysia dan tindakan perlu diambil terhadapnya," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat berbilang kaum di negara ini agar lebih peka dan sensitif dengan isu agama, raja dan kaum (3R).

Iklan

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam sidang media di Bukit Aman pada Rabu berkata, polis gagal mengeluarkan notis merah terhadap Ganesparan.

Menurutnya, perkara berkenaan gagal berikutan isu agama dan perkauman tidak tersenarai dalam Artikel 3, Polis Antarabangsa (Interpol).

Justeru katanya, Bukit Aman membuat permohonan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk membatalkan pasport Ganesparan pada November 2020.

Media sebelum ini melaporkan polis telah membuka kertas siasatan terhadap Ganesparan yang menghina agama Islam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Lelaki berkenaan tidak pernah pulang sejak meninggalkan negara ini dan dipercayai berada di Eropah serta video dipercayai dimuat naik dari luar negara.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28