KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan mengumumkan pemberian tol percuma di kesemua lebuh raya kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang,Johor.
Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi kenyataan memaklumkan, pelaksanaan pengecualian bayaran tol kepada kenderaan kelas 1 itu selama dua hari bermula jam 12.01 tengah malam pada 8 April dan akan berakhir jam 11.59 malam keesokan harinya.
"Pengecualian ini bagi meraikan kesemua rakyat Malaysia terutamanya beragama Islam yang menyambut Hari Raya Aidilfitri," kata kementerian itu pada Khamis.
Menurut KKR, kerajaan perlu memperuntukkan bayaran pampasan dengan anggaran berjumlah RM37.60 juta bagi pelaksanaan inisiatif tersebut.
"Tol percuma oleh kerajaan ini adalah sebagai tanda prihatin dan sama-sama ingin berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia," katanya.
KKR berkata, dengan pelaksanaan pemberian tol percuma itu jumlah kenderaan dijangka meningkat di kesemua jaringan lebuh raya.
"Bagi para pengguna lebuh raya Utara Selatan (PLUS), pengguna digalakkan untuk merancang perjalanan dengan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan (TTA) menerusi aplikasi MyPLUS-TTA," jelas KKR.
Dalam pada itu, KKR turut memperkenalkan aplikasi aduan menerusi MYJalan KKR yang berkonsepkan ‘No Wrong Door Policy’ di mana ia menerima semua jenis aduan berkaitan jalan raya seperti kerosakan, infrastruktur, termasuk jalan raya yang bukan di bawah seliaannya.
"Aduan tersebut akan disalurkan kepada pihak bertanggungjawab untuk diambil tindakan segera," kata kementerian itu.
Dalam perkembangan berkaitan, KKR memaklumkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi akan mengaktifkan laluan Smart Lane di 18 lokasi di Lebuhraya PLUS yang melibatkan lokasi kesesakan kritikal.
Langkah itu untuk menambah kapasiti dan melancarkan aliran trafik."Bilangan ini termasuk tiga lokasi baharu berbanding 15 lokasi yang dilaksanakan semasa perayaan Tahun Baru Cina pada Februari lalu," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!